
Beliau berkata, pendekatan empirikal dan berdasarkan bukti terhadap masalah itu diperlukan, bukannya terus melaksanakan program itu kerana sikap “lebih kurang sama” bukan cara untuk menyelesaikannya.
“Kenapa kita tidak kaji terlebih dahulu apa yang sebenarnya berlaku daripada terus melakukannya tanpa melihat apa yang kita cuba buat sebelum ini? Adakah ia berjaya? Adakah ia capai matlamatnya?
“Kita perlu mendekati hal seperti ini dengan kerangka pemikiran saintifik. Analisis dan kaji data serta buat kesimpulan daripada teruskan saja PLKN,” katanya kepada FMT.
Chandra berkata, matlamat memupuk perpaduan, disiplin dan semangat patriotisme dalam kalangan remaja adalah terpuji, tetapi beliau bertegas program itu perlu diteliti untuk melihat sama ada ia sudah dicapai.

Beliau berkata, Putrajaya berulang kali mengumumkan mereka akan mengkaji program itu, khasnya ketika timbul isu tertentu, namun dapatan mereka tidak didedahkan.
Sekiranya ada kajian dilakukan terhadap PLKN, katanya, dapatannya harus diumumkan kerana program itu melibatkan banyak wang.
“Bagi kita, masyarakat umum, kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Adakah wujud perpaduan dalam kalangan pelatih? Dan ia tidak seharusnya bersifat anekdot, di mana seorang berkata begini dan yang lain bercakap perkara berbeza. Kita memerlukan sesuatu yang empirikal.”
Awal minggu ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya akan mencadangkan kepada Kabinet untuk melaksanakan PLKN semula kerana program itu mempunyai “kesan baik” dalam pembentukan patriotisme di kalangan pelatih.
Program itu dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu pada 2018.
Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan alasan di sebalik cadangan itu memandangkan kos yang tinggi, merujuk RM8.43 bilion dibelanjakan untuk PLKN pada 2004.

Jufitri Joha dari Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menyokong cadangan itu, hanya jika program itu dilaksanakan semula mengikut rangka kerja yang digunakan ketika kali pertama diperkenalkan.
Katanya, siri pertama PLKN berjaya memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelatih, tetapi perubahan kepada program itu selama bertahun-tahun menjadikannya kehilangan fokus.
Beliau memberitahu FMT, MBM sudah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Yusof pada bulan lalu yang menggariskan beberapa cadangan perlu dipertimbangkan, jika program itu dilaksanakan semula.
Saranan terbabit termasuk lebih banyak aktiviti fizikal dan luar yang boleh memupuk perpaduan dan kerja berpasukan, melanjutkan program sehingga 6 bulan dan memfokuskan prinsip ke-5 Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan berbanding , agama.