
Sumber berkata, pelan baharu itu menetapkan laluan berakhir di Johor Bahru bukannya Singapura.
Mei lalu, Singapura bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk menangguhkan permulaan projek berkenaan hingga akhir tahun ini bagi membolehkan perbincangan mengenai perubahan yang diinginkan Putrajaya.
Dua sumber memberitahu FMT, perubahan itu termasuk pilihan untuk meneruskan projek berkenaan tanpa penyertaan Singapura.
Mereka berkata, Putrajaya sudah memaklumkan Singapura mengenai perubahan dalam pelan itu.
Ini bermaksud, laluan kereta api itu akan berakhir di Johor Bahru, bukan menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura.
Kedua-dua sumber dihubungi FMT itu mengkritik keputusan terbaru Putrajaya, dengan seorang menyatakan ia akan menimbulkan persoalan mengenai kemampanan projek mega berkenaan.
“HSR disebut-sebut sebagai ‘game changer’ kerana ia akan memastikan perjalanan antara KL dan Singapura hanya memakan masa 90 minit,” katanya. “Ia adalah antara perjalanan udara paling sibuk di dunia, jadi terdapat permintaan kepada aliran transit itu.
“KL dan Johor Bahru sudah tersedia dengan penerbangan domestik dan Lebuhraya Utara-Selatan.”
Beliau turut merujuk kepada projek Perkhidmatan Tren Elektrik oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd, yang akan menyaksikan seluruh pantai barat dihubungkan dengan rel pada 2022. Laluan itu akan menghubungkan KL Sentral ke JB Sentral dengan kelajuan tren mencapai 160km sejam.
“Apabila projek berkenaan siap, anda akan mempunyai dua landasan yang menghubungkan KL ke JB. Ini adalah pertindihan.”
Sumber lain berkata, mengetepikan Singapura daripada projek itu boleh merumitkan hubungan antara dua negara, menyatakan Singapura sudah menanggung perbelanjaan dan ia akan menuntut pampasan daripada Malaysia.
“Singapura menyatakan pendiriannya secara jelas ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan pembatalan projek berkenaan,” katanya. “Ia akan menggunakan haknya untuk mendapatkan pampasan.
“Ia akan menjadi sangat mahal kepada pembayar cukai.”
Beliau berkata, dilaporkan Singapura akan meminta pampasan kira-kira SGD$250 juta (RM760 juta).
Ketika dihubungi FMT, Suruhanjaya Tinggi Singapura berkata, pihaknya percaya projek HSR akan memanfaatkan kedua-dua negara dan mengulangi komitmennya untuk memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam perjanjian dua hala.
Katanya, pembinaan projek berkenaan ditangguhkan dua kali atas permintaan Malaysia, dengan lanjutan berakhir tahun ini.
“Singapura dan Malaysia memeterai perjanjian dua hala Kuala Lumpur-Singapura HSR pada Disember 2016 dan ia adalah perjanjian antarabangsa yang masih berkuatkuasa sehingga kini.
“Semasa tempoh penangguhan, Malaysia mencadangkan beberapa perubahan pada projek HSR dan kami berbincang secara baik mengenainya dengan Malaysia.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memuktamadkan perbincangan dengan Malaysia menjelang 31 Disember. Bagaimanapun, jika pada 31 Disember Malaysia memutuskan tidak meneruskan projek HSR, berdasarkan perjanjian kami yang disepakati dengan Malaysia. Malaysia akan menanggung kos yang dipersetujui Singapura dalam memenuhi perjanjian dua hala HSR,” katanya.