
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut berapakah jumlah pemotongan yang akan dibuat.
“Saya memberi jaminan ia (peruntukan) akan dikurangkan. Berapa banyak kurang itu sedang dibincangkan,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin turut menjelaskan, Kabinet bersetuju menyusun semula JASA kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan memfokuskan kepada 3 komponen utama iaitu, komuniti budaya ilmu, komuniti digital dan komuniti patriotik.
Beliau menjawab Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanya adakah JASA sebagai jabatan propaganda politik kerajaan.
Sambil menolak dakwaan itu, Saifuddin memberi jaminan ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah jabatan itu tidak akan dilantik dalam kalangan ahli politik bagi membuktikan ia bukan jentera propaganda politik kerajaan.
“Jangan kata J-KOM ini propaganda kerajaan kerana banyak kelemahan kita dapati di semua peringkat daerah dan negeri dalam menyalurkan maklumat atau dasar kerajaan.
“Kriteria untuk jawatan dalam jabatan ini sama seperti jabatan lain melalui Jabatan Perhidmatan Awam. Tetapi kriteria utama untuk mengisi jawatan ini adalah harus bersifat ‘internet savvy’,” katanya sambil menyifatkan kewujudan jabatan itu sebagai usaha pemerkasaan komuniti.