NGO kritik dasar paksa pekerja kesihatan lapor PATI

NGO kritik dasar paksa pekerja kesihatan lapor PATI

Dasar berkenaan menyebabkan komuniti PATI hilang keyakinan terhadap perkhidmatan kesihatan kerajaan dan bersembunyi sambil terdedah risiko.

Sekumpulan pekerja asing di Petaling Jaya dikumpulkan untuk ujian swab Covid-19.
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan tidak terkejut pihak berkuasa kesihatan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pendatang tanpa izin (PATI) menjalani ujian Covid-19 memandangkan dasar sedia ada yang menghalang mereka mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan mendorong mereka bersembunyi.

Mereka mengulas laporan pihak berkuasa kesihatan di Sabah sukar mendapatkan PATI tampil untuk menjalani ujian kerana takut ditahan atau dihantar pulang.

Kumpulan berkenaan memberitahu FMT negara kini terkesan dengan dasar yang menghendaki pekerja kesihatan melapor orang tanpa dokumen kepada polis dan imigresen, menurut Pekeliling 10 ketua pengarah kesihatan pada 2001.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata dasar berkenaan secara jelas menyalahgunakan kemudahan penjagaan kesihatan “sebagai pemanjangan kerja-kerja penguatkuasaan imigresen tetapi bertentangan dengan objektif kesihatan awam, lebih-lebih lagi semasa pandemik memuncak.”

Azrul Mohd Khalib.

Akibatnya, golongan PATI hilang keyakinan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan, menyebabkan mereka bersembunyi dan lemah.

“Keadaan ini juga menyebabkan kesihatan awam di Sabah merosot, menyebabkan penularan penyakit yang boleh dicegah vaksin, seperti polio dan tuberkulosis.

“Kami pernah memberi amaran kepada pihak berkuasa pada Mei bahawa tindakan keras terhadap PATI ketika kecemasan kesihatan awam akan membawa akibat teruk,” kata Azrul.

Dilema pekerja kesihatan

Ketua misi Doktor Tanpa Sempadan (MSF) Malaysia, Dirk Van Der Tak, berkata kewajipan sedia ada untuk melaporkan PATI menyebabkan pekerja kesihatan mengalami dilema etika perubatan.

“Pekerja kesihatan mesti sentiasa bertindak atas kepentingan pesakit tetapi di Malaysia mereka akan dianggap melakukan jenayah jika tidak melaporkan pesakit mereka.

“Setiap bulan, MSF menerima laporan daripada pesakit yang tak diterima atau diancam akan dilaporkan kepada imigresen kerana tiada dokumen. Ini termasuklah wanita mengandung.

“Hakikat bahawa pegawai kesihatan di Sabah berdepan keadaan rumit semasa menjalankan tugas memerangi pandemik Covid-19 membuktikan kesukaran yang mereka hadapi ini akibat dasar kerajaan,” katanya kepada FMT menerusi e-mel.

Van Der Tak berkata apa yang berlaku di Sabah serupa dengan apa yang dialami MSF di Semenanjung.

Beliau berkata mengecualikan dua hingga tiga juta PATI daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan akan memberi kesan pada masyarakat.

“Senario sebegini akan menghalang respons berkesan terhadap wabak yang memerlukan semua orang ada akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan ujian,” katanya.

Tanggung kesan

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata sesuatu antara perkhidmatan penjagaan kesihatan dan isu keselamatan perlu diwujudkan supaya pegawai kesihatan tidak perlu melaporkan PATI kepada pihak berkuasa.

“Hari ini, kita tidak boleh salahkan PATI melarikan diri. Kita tanggung kesannya,” katanya.

Aktivis hak pendatang asing, Sumitha Shaanthini Kishna, berkata semasa pandemik memuncak, tidak harus ada mentaliti “kami lawan mereka” dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata perlu ada penambahbaikan untuk membolehkan warga asing, terutama daripada golongan berpendapatan rendah, mengakses khidmat penjagaan kesihatan yang berpatutan.

“Perasaan takut ditangkap ketika pandemik menyebabkan warga asing tidak membawa anak untuk imunisasi, termasuk merawat penyakit. Wanita melahirkan anak di rumah dan ini selalunya boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.