Masalah keluarga punca gadis 15 tahun terjun sungai

Masalah keluarga punca gadis 15 tahun terjun sungai

Gadis berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas mendapat maklumat awam.

Seorang gadis dipercayai mengalami tekanan kerana masalah keluarga cuba membunuh diri dengan terjun ke Sungai Sembulan. (Gambar Bomba)
KOTA KINABALU:
Tertekan akibat masalah keluarga dipercayai punca seorang gadis berusia 15 tahun cuba membunuh diri dengan terjun dari jambatan Sungai Sembulan, hari ini.

Bagaimanapun, gadis berkenaan berjaya diselamatkan anggota bomba selepas mendapat maklumat awam.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan yang tiba di lokasi kejadian cuba memujuknya hampir lima minit, namun usaha itu gagal dan gadis berkenaan nekad terjun ke sungai.

Dia kemudian diselamatkan anggota bomba yang sudah bersedia dalam sungai.

Pegawai Operasi BBP Kota Kinabalu Jamaludin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 tengah hari berhubung kejadian itu.

Gadis terbabit berjaya diselamatkan anggota bomba. (Gambar Bomba)

“Seramai 15 anggota dengan sebuah jentera, EMRS (Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan) dan dua kenderaan utiliti terlibat dalam operasi itu,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian memujuk gadis berkenaan yang berdiri pada besi saluran paip dan satu lagi pasukan bersedia dalam sungai.

“Selepas hampir lima minit memujuk, gadis itu terjun menyebabkan pasukan bomba yang berada dalam sungai terus menyelamatkannya. Gadis itu kemudian dibawa ke daratan dan ditenangkan serta diberi rawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.