Zaid saman bekas rakan kongsi guna namanya

Zaid saman bekas rakan kongsi guna namanya

Zaid berpendapat penggunaan namanya akan mendorong orang ramai mempercayai beliau memberikan perkhidmatan bagi pihak ZICO.

Zaid Ibrahim berkata kehidupannya terjejas kerana tidak dapat mendaftarkan firma undang-undang baharu menggunakan namanya.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal perundangan dan pembaharuan kehakiman) Zaid Ibrahim menyaman bekas rakan kongsi firma guamannya untuk menghentikan mereka daripada menggunakan nama Zaid Ibrahim & Co (ZICO).

Zaid tidak dapat menggunakan namanya untuk menubuhkan firma guaman baharu apabila hendak kembali dalam bidang itu.

Dalam samannya, Zaid menyatakan dia mengasaskan ZICO pada 1987 dan merupakan pemilik tunggal.

Dari 1987 hingga 2008, beliau membangunkan nama ZICO, “khususnya dalam mendapatkan keanggotaan panel bersama dengan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)”.

“Saya beransur-ansur membesarkan amalan tersebut dengan kemasukan rakan kongsi bergaji ke dalam firma tersebut dari semasa ke semasa, termasuklah Chew Seng Kok (rakan kongsi pengurus) dan Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani (pengerusi rakan-rakan kongsi).

“Saya mengekalkan ekuiti tunggal di dalam firma tersebut sehinggalah suatu tempoh pada 2008 untuk menyeru lantikan sebagai menteri dalam kerajaan Malaysia,” katanya.

Zaid berkata, pada 2018 beliau menghampiri Chew dan Nik Norzrul memohon mereka berhenti menggunakan nama ZICO dan mengembalikan kepadanya supaya dapat menubuhkan firma sendiri.

“Meskipun saya berkali-kali memohon, mereka tetap gagal dan/atau enggan untuk menghentikan penggunaan nama saya,” katanya.

Bagaimanapun, Zaid berkata pada 5 Oktober, bekas rakannya menyelesaikan isu berkenaan dengan mengundangnya kembali ke ZICO sebagai rakan kongsi ekuiti dan pengerusi firma itu.

“Saya bersedia menerima tawaran untuk menyertai semula firma tersebut kerana saya tidak perlu memulakan amalan guaman sekali lagi,” katanya memaklumkan kembali ke firma berkenaan pada 1 November.

Lebih seminggu selepas kepulangannya, katanya, kedudukannya dalam firma berkenaan ditamatkan atas alasan “tindakan tidak sah”, tetapi butirannya tidak dinyatakan.

“Penamatan daripada kedudukan sebagai pengerusi dan rakan kongsi ekuiti firma tersebut adalah salah dan saya memelihara hak saya untuk mendapatkan relif yang sesuai,” katanya.

Zaid juga berpendapat penggunaan namanya akan mendorong orang ramai mempercayai yang beliau memberikan perkhidmatan bagi pihak ZICO.

Beliau sedang memohon injunksi terhadap bekas rakannya daripada menggunakan nama Zaid Ibrahim & Co (ZICO), sementara menunggu tuntutan berkenaan dibatalkan.

“Atas sebab penggunaan salah nama saya, saya telah dilucutkan daripada penggunaan nama peribadi saya untuk membangunkan firma. Saya telah mengalami atau bakal menghadapi kerugian besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.