Ujian saringan Covid-19 pandu lalu di UMS

Ujian saringan Covid-19 pandu lalu di UMS

Bayaran RM95 dikenakan bagi saringan menggunakan kaedah "rapid test" manakala RM333 untuk kaedah "Covid-19 rt-PCR".

Ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di UMS dibuka setiap hari antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang. (Gambar UMS)
KOTA KINABALU:
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada orang ramai.

Pengarah Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS Muhammad Syafiq Abdullah berkata, perkhidmatan itu dibuka setiap hari di PRW, berhampiran pusat sukan UMS.

Katanya, inisiatif itu dijalankan PRW dengan kerjasama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) serta Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.

“Inisiatif ini juga sebagai usaha universiti menerusi bidang kepakaran dan kelengkapan UMS untuk membantu memerangi pandemik Covid-19.

“Kita mempunyai petugas kesihatan berpengalaman membuat ujian swab hampir 5,000 pelanggan sejak April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syafiq berkata, bayaran sebanyak RM95 dikenakan bagi saringan menggunakan kaedah “rapid test”, manakala RM333 untuk kaedah “Covid-19 rt-PCR”.

“Semua pembayaran boleh dilakukan secara perbankan dalam talian dan resit juga dikeluarkan dalam talian. Ini bagi mengelakkan sebarang sentuhan sekali gus mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Orang ramai boleh datang membuat saringan antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari atau 2.30 petang hingga 4.30 petang. Saringan akan dibuat di lobi PRW dengan cepat, cermat dan selamat tanpa perlu turun dari kereta,” katanya.

Pengarah HUMS Helen Benedict Lasimbang memaklumkan perkhidmatan ditawarkan mampu memberi impak yang tinggi terhadap masyarakat.

“Ia dapat mengurangkan risiko penularan dan mengelakkan pembasmian kuman yang tidak perlu di kawasan PRW. Mereka yang datang bukan sahaja berasa selesa, malah pada masa sama memberi perlindungan kepada petugas kesihatan UMS yang melakukan saringan.

“Inilah inti perkhidmatan HUMS iaitu untuk membawa hospital ke klien, bukan klien ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPSK UMS Mohammad Saffree Jeffree berkata, semua proses ujian dan keputusan akan dibuat di makmal FPSK.

“Ini boleh mengurangkan masalah logistik dan pengangkutan kerana semua proses dilakukan dalam kampus. Pakar dan juruteknik makmal FPSK turut menimba pengalaman bekerja di lapangan sebagai bekalan berharga apabila HUMS siap pada akhir 2022,” katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh mengubungi nombor telefon atau menghantar pesanan WhatsApp di talian 088 329054.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.