Bekas CEO syarikat sarung tangan dituduh buat tuntutan palsu, pecah amanah RM145 juta

Bekas CEO syarikat sarung tangan dituduh buat tuntutan palsu, pecah amanah RM145 juta

Hakim membenarkan ikat jamin RM1.5 juta masing-masing kepada Lee Song Hon dan isterinya, serta mengarahkan mereka menyerahkan pasport.

Bekas CEO WRP Asia Pacific Bhd, Lee Song Hon berdepan 11 pertuduhan rasuah dan pecah amanah, manakala isterinya didakwa bersubahat dengan dia dalam kesalahan pecah amanah. (Gambar Reuters)
SHAH ALAM:
Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengeluar sarung tangan berdepan 11 pertuduhan rasuah dan pecah amanah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lee Song Hon, yang pernah bersama WRP Asia Pacific Bhd, menghadapi 3 tuduhan tuntutan palsu berjumlah RM8.4 juta, menerusi invois palsu atas nama Tower Success Group Ltd.

Pihak pendakwaan mendakwa invois itu digunakan untuk bekalan tidak wujud keluli struktur belum diproseskan bagi sebuah kilang pembungkusan peralatan pembedahan antara 27 Mei hingga 22 Dis 2015 di pejabat WRP Asia Pacific di Sepang.

Lee juga berdepan 8 pertuduhan pecah amanah membabitkan penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM137 juta antara 12 Dis 2013 hingga 18 Jan 2018.

Isterinya, Too Sooi Keng, berdepan 7 pertuduhan bersubahat dengan dia dalam kesalahan pecah amanah.

Jika sabit kesalahan membuat tuntutan palsu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lee boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang 5 kali ganda daripada jumlah itu.

Dia juga boleh dipenjara antara 2 hingga 20 tahun dan didenda, jika sabit kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pasangan itu tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di depan Hakim Rozila Salleh.

Rozila membenarkan ikat jamin RM1.5 juta masing-masing kepada Lee dan Too, serta mengarahkan mereka menyerahkan pasport sementara menunggu pelupusan kes mereka.

Mahkamah menetapkan 4 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahamd Akrab Gharib menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin RM2 juta kepada Lee atas alasan pasangan itu mempunyai anak yang tinggal di Hong Kong dan UK.

“Terdapat risiko melarikan diri selepas kita mengambil kira anak mereka bermastautin di Hong Kong dan UK.”

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar meminta ikat jamin RM1.5 juta untuk Too.

Peguam pasangan itu, PG Cyril dan Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, jumlah itu keterlaluan dan mereka tidak lagi bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.