
Oleh demikian, katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif menentukan apa-apa cara yang sesuai untuk menentukan individu yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
“(Ini) termasuklah dengan menerima apa-apa dokumen yang dikemukakan mahupun dengan mendapatkan kenyataan lisan atau bertulis daripada setiap ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab Ahli Parlimen Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang membangkitkan tentang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.
Menurut Takiyuddin, Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan jika perdana menteri hilang sokongan majoriti di Parlimen, beliau dan kabinetnya perlu letak jawatan, kecuali Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat perdana menteri dan membubarkan Parlimen.
Beliau menegaskan Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai prosedur untuk ahli parlimen mengemukakan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.
Justeru, prosedur berkenaan terkandung di dalam Peraturan Majlis Mesyuarat
Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, peraturan mesyuarat berkenaan menetapkan urusan kerajaan diberikan keutamaan dan urusan lain, termasuk usul tidak percaya, hanya boleh dibentangkan setelah segala urusan kerajaan selesai dibahaskan, kata beliau.
Takiyuddin berkata 25 usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dikemukakan pada sesi Parlimen kali ini.