
SN Nair berkata, pengerusi PAC “dilindungi imuniti” ketika menjalankan tugas rasminya.
“Sesiapa saja boleh menyaman pihak lain kerana merendahkan reputasi seseorang, tetapi dia mesti bertanya mengenai prospek ligitasi yang berjaya,” kata peguam itu yang pernah menjadi ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Nair mengulas kenyataan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) semalam, yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC Wong Kah Woh atas kapasiti peribadinya kerana didakwa merosakkan reputasi badan itu.

Menerusi kenyataan pejabat ketua pegawai eksekutif YWP, pihaknya mendakwa Wong menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengerusi PAC untuk melontar tuduhan tidak benar terhadap badan itu, yang antara lain, melibatkan menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur.
“Berdasarkan peruntukan perlembagaan dan undang-undang, YWP berhak mempertahankan diri terhadap 3 kenyataan Wong yang dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti YWP.
“Ia seperti kenyataan bahawa menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur secara automatik dilantik menjadi ahli lembaga pemegang amanah dan terlibat dalam penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” menurut kenyataan itu.
Ia juga menyanggah kenyataan pengerusi PAC yang turut mengaitkan yayasan itu terhadap isu penjualan 97 bidang tanah DBKL termasuk Taman Rimba Kiara.
YWP juga tidak bersetuju dengan kenyataan Wong yang menyatakan yayasan itu sebuah syarikat tidak berdaftar bawah Akta Syarikat 1965 dan tidak diawasi oleh mana-mana pihak berkuasa.
Ia juga bercadang menyaman Wong pada Khamis atas kenyataannya selepas siasatan PAC terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL sejak 2011 selesai.
PAC kemudian memberi amaran kepada pihak berkaitan supaya tidak mengeluarkan sebarang ugutan terhadap ahlinya yang hanya menjalankan tugas mereka dan menyatakan ia tidak patut sama sekali berlaku dan merupakan suatu percubaan untuk mencabar dan mencabuli keutuhan institusi Parlimen.
Nair berkata, imuniti diberi kepada pengerusi PAC dan ahlinya atas sebab dasar awam.
“Seseorang tidak boleh menggunakan mahkamah sebagai senjata untuk menghalang mereka daripada menjalankan tugas dan fungsi mereka atas kapasiti rasmi,” katanya.

Peguam T Gunaseelan berkata, Wong mempunyai semua alasan pembelaan untuk menggagalkan sebarang saman fitnah yang dibuat terhadapnya.
Beliau berkata, pengerusi itu boleh bergantung kepada justifikasi pembelaan, kenyataan yang adil dan hak istimewa.
“Pembelaan terhadap kenyataan yang adil hanya tidak boleh digunakan jika YWP dapat membuktikan Wong membuat kenyataan itu dengan berniat jahat, yang tidak mungkin dalam kes ini,” katanya.