KKM akan perkenal garis panduan lindungi zon hijau

KKM akan perkenal garis panduan lindungi zon hijau

Pelan tindakan itu akan merangkumi garis panduan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan merebak di zon hijau pada peringkat daerah dan negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai tidak balik kampung kerana kadang kala seseorang itu tidak mengetahui jika dia dijangkiti Covid-19 atau tidak.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka kriteria dan pelan tindakan untuk melindungi kawasan zon hijau daripada dijangkiti virus Covid-19 dari zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelan tindakan itu akan merangkumi garis panduan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan merebak di zon hijau pada peringkat daerah dan negeri.

“Di Sarawak misalnya, sekatan jalan raya digunakan bagi menghalang penduduk dari Kuching yang merupakan zon merah untuk pergi ke daerah lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Jika boleh, Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai agar tidak balik kampung kerana kadang kala seseorang itu tidak mengetahui jika dia dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Beliau berkata, tindakan tidak balik kampung pada masa ini juga merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi warga tua yang merupakan kumpulan berisiko tinggi.

Golongan tua dan mereka yang mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis juga tidak mempunyai antibodi yang kuat seperti golongan muda, katanya.

Katanya, satu daripada langkah yang boleh digunakan untuk melindungi zon hijau ialah melaksanakan ujian saringan termasuk menggunakan ujian antigen Rapid Test Kit (RTK).

Ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar kilang Top Glove di Klang, Selangor, berikutan peningkatan mendadak kes positif dalam kalangan pekerja kilang itu, Noor Hisham memberi jaminan pihaknya kini menjalankan pengesanan aktif kontak rapat.

“Ini bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes baharu dalam kalangan bukan pekerja kilang sarung tangan itu. Kilang juga telah diarahkan tutup secara berperingkat dan kita (KKM) akan jalankan saringan ke atas 13,000 pekerja Top Glove. Kita harap dapat kawal penularan jangkitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.