
“Perjanjian berkaitan dengan PLUS sedang diteliti kerana dalam isu berkaitan tol, banyak perkara sensitif perlu dipertimbangkan.
“Contohnya kenaikan harga dan tempoh konsesi untuk diimbangkan antara tanggungjawab kewangan kerajaan serta beban rakyat dan tidak lupa juga tanggungan (syarikat) konsesi.
“Bagi isu PLUS ini, perkara yang perlu diteliti adalah syarat unjuran ‘revenue’ (hasil) antara PLUS dan kerajaan.
“Malah bagi perjanjian melibatkan PLUS, kita sedang dalam perbincangan dan (perkara ini) masih belum diputuskan sehingga hari ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Eddin menjawab soalan tambahan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu status terkini keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melanjutkan konsesi PLUS Malaysia Bhd selama 20 tahun sehingga 2058.
Ini susulan keputusan Kabinet ketika itu untuk tidak menjual kepentingan dalam syarikat pengendali lebuh raya terpanjang di negara ini.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, PH berjanji untuk memansuhkan tol sekiranya ia berjaya menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun pada Januari, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Kabinet memutuskan lebuh raya PLUS kekal milik Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun katanya, PLUS perlu mengurangkan kadar tol sebanyak 18% mulai tahun ini dan tiada kenaikan untuk 30 tahun.
Pada 2017 PLUS dilaporkan berkata, berdasarkan perjanjian konsesi yang disemak semula pada 2011, kutipan tol dijadualkan berakhir pada 31 Dis 2038.