222 warga asing di kawasan Kluster Avenue dipagari kawat berduri

222 warga asing di kawasan Kluster Avenue dipagari kawat berduri

Kluster Avenue membabitkan sebuah tapak pembinaan di Penampang mencatatkan 110 kes positif Covid-19 setakat Jumaat lalu.

Anggota tentera memasang pagar kawad berduri di kawasan rumah kongsi pekerja di sebuah tapak pembinaan di Penampang.
PENAMPANG:
Kawasan rumah kongsi pekerja sebuah tapak pembinaan yang terlibat dengan Kluster Avenue dipasang pagar kawat berduri oleh pihak berkuasa bagi memboleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim, berkata kawasan rumah kongsi itu membabit seramai 222 warga Indonesia dan Filipina.

“Pemasangan kawat berduri itu dilakukan bagi memastikan tiada pergerakan keluar dan masuk membabitkan individu dalam siasatan (PUI) di kawasan itu.

“Proses pemasangan kawat di kawasan ini melibatkan keluasan kira-kira 6,000 meter persegi khusus untuk kawasan rumah kongsi sahaja,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan pemasangan pagar kawat berduri di kawasan itu.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD pada 17 Nov lalu susulan kewujudan Kluster Avenue yang membabitkan sebanyak 110 kes Covid-19.

Haris berkata, dari segi SOP, PUI tidak dibenarkan keluar langsung memandangkan tiada keperluan untuk berbuat demikian seperti PKPD di kawasan penempatan lain.

“Makanan kita akan bekalkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan PKPD ini berbeza dengan kawasan lain seperti penempatan Telipok atau Kampung Numbak, Kota Kinabalu, di mana kawasan itu perkampungan yang besar serta mempunyai kedai runcit.

“Di sini, tiada keperluan kerana khusus rumah kongsi saja dan mudah untuk dikawal. Jika mereka memerlukan bantuan, kita akan menghubungi majikan mereka. Jadi kita akan pastikan mereka ini tidak keluar sehingga PKPD ini selesai sehingga 5 Dis depan,” katanya.

Terdahulu, Haris berkata, penugasan di lokaliti itu membabitkan anggota polis, tentera, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia yang akan bertugas 24 jam setiap hari mengikut syif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.