
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan dari hospital mengenai seorang lelaki bergelang kuarantin biru muda melarikan diri dari wad 7 kira-kira 4.48 petang.
Bagaimanapun, lelaki berumur 29 tahun itu ditemui semula kira-kira 6 petang oleh sepasukan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Slim River berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Baru Slim River.
“Sepasukan petugas kesihatan yang lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) datang mengambilnya untuk dibawa semula ke Hospital Slim River,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini, hasil saringan ujian pejabat kesihatan mengesahkan lelaki itu negatif Covid-19 dan akan dibenarkan keluar wad esok.
Hasil semakan polis mendapati lelaki itu mempunyai 6 rekod lampau dan ditangkap bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.