
Pengarah publisiti Befrienders Kota Kinabalu Jessie Yong berkata, 1,375 panggilan diterima dari Mac hingga Okt, dengan 30% daripadanya merupakan individu yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.
“Kami terima 1,473 panggilan tahun lepas dan hanya 20% mempunyai kecenderungan itu.”
Data yang dikumpulkan oleh Befrinders menunjukkan kes bunuh diri terbaru melibatkan migran dan orang gelandangan, katanya.
Salah satu kes berlaku minggu lepas apabila polis menemui mayat tergantung pada paip sebuah longkang besar di depan balai polis di bandar raya itu.
Yong berkata, kebanyakan individu terdesak yang menghubungi Befrienders adalah mereka yang berdepan kesukaran kewangan kerana kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, atau pun menghidap penyakit mental.“Mereka menyuarakan rasa terpencil dan kesunyian susulan sekatan pergerakan dan ketiadaan sokongan sosial,” katanya.
Sesetengah mereka menghadapi kemurungan teruk atau penyakit mental.
Yong berkata, kumpulan itu bimbang berhubung kadar bunuh diri atau percubaan bunuh diri di bandar raya itu sejak kebelakangan ini.
Beliau menggesa rakyat Sabah supaya mengambil maklum tentang tanda awal keadaan itu dan mengambil langkah untuk menanganinya secara serius.
“Tanda amarannya ialah mengalami perasaan putus harapan dan tidak mampu berbuat apa-apa, kemurungan berpanjangan, hilang minat terhadap perkara yang dianggap penting, perubahan drastik tingkah laku, menyendiri dan mencari-cari jalan untuk membunuh diri,” katanya.
Beliau berkata, antara tanda lain termasuklah susunan barang milik peribadi, pengambilan alkohol atau dadah secara berlebihan, selain membeli dan menyimpan barang yang boleh digunakan untuk membunuh diri seperti ubat tertentu, arang, tali atau racun serangga.
Befienders melatih sukarelawan dan boleh dihubungi melalui talian 016-8036945 (WhatsApp) atau melalui Fac ebook Messenger dan emel di [email protected] atau https://www.help.befrienders.org.
Befrienders juga boleh dihubungi di talian 03-76272929 (Kuala Lumpur), 04-2815161 (Pulau Pinang) dan 07-3312300 (Johor Baru).