Selangor patut laksana PKP, tetapi diganti PKPB bulan lalu, kata Hisham

Selangor patut laksana PKP, tetapi diganti PKPB bulan lalu, kata Hisham

Ketua pengarah kesihatan berkata, PKP tidak dapat dilaksanakan di Selangor atas faktor ekonomi.

Dr Noor Hisham Abdullah bimbang masih ada penduduk di kawasan PKPB yang mengingkari arahan dengan merentas daerah.
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dicadangkan di Selangor bulan lalu, tetapi ia digantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atas faktor ekonomi.

“Di Selangor memang amat mencabar sekali.

“Kalau boleh nak laksanakan PKP ketika itu, tetapi kos yang amat tinggi sebab 40% ekonomi berada di Selangor,” katanya dalam taklimat khas usaha negara menangani Covid-19 hari ini.

PKPB dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 2 minggu mulai 14 Okt lalu, sebelum dilanjutkan hingga 9 Nov lalu dan diteruskan hingga 6 Dis ini kerana masih ada lokasi berisiko tinggi bagi penularan Covid-19.

Dr Noor Hisham Abdullah.

Hisham berkata, pihaknya bimbang kerana masih ada penduduk di kawasan PKPB yang mengingkari arahan dengan merentas daerah.

Ini kerana, katanya, KKM tidak mampu menjalankan saringan dan mengarahkan kuarantin 14 hari ke atas semua individu yang keluar masuk Selangor.

“Kalau rakyat kembali dari Sabah, kita saring dan yang negatif kita kuarantin 14 hari.

“Di Selangor, adakah kita boleh jalankan saringan untuk semua yang keluar masuk Selangor dan kuarantin mereka 14 hari? Kita tidak mampu laksanakan.”

Oleh itu, beliau meminta kerjasama rakyat untuk duduk di rumah dan hanya keluar jika ada perkara penting dengan mematuhi SOP ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.