1,405 pesakit pulih atasi 1,041 kes baru Covid-19

1,405 pesakit pulih atasi 1,041 kes baru Covid-19

Tiga kematian dilaporkan hari ini membabitkan 2 lelaki dan seorang wanita di Sabah.

PUTRAJAYA:
Seramai 1,405 pesakit pulih hari ini, mengatasi 1,041 kes baru Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan keseluruhan 40,493 atau 75.4% pesakit sudah sembuh daripada 53,679 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 2 kes import dan 1,039 jangkitan tempatan dicatatkan hari ini.

“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi hari ini adalah Selangor sebanyak 402 kes (38.6%), diikuti Sabah 346 kes (33.2%) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, kes tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan 298 kes bagi kluster Teratai.

Katanya, Sabah mencatatkan jumlah kes ke-2 tertinggi hari ini kerana pelbagai saringan Covid-19 yang giat dijalankan di negeri itu, manakala Negeri Sembilan disebabkan pertambahan kes dalam kluster aktif.

Beliau berkata, seramai 12,854 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 45 daripada 108 orang yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Tiga kematian Covid-19 hari ini dilaporkan berlaku di Sabah, menjadikan keseluruhan 332 atau 0.6% kematian setakat ini.

Ia membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti serta seorang lagi lelaki berusia 78 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi.

Kematian ke-3 membabitkan seorang wanita berusia 55 tahun dengan penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.