
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun mutasi dalam kluster baharu itu perlu dihantar ke makmal untuk kajian.
“Perlu 2 hingga 3 minggu. Tetapi yang pasti tempoh 5 hari jangkitan dapat merebak dengan cepat pada daerah dan rentas negeri Terengganu.
“Kluster Mengketil terutamanya mencatatkan pertambahan kes mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa 5 hari,” katanya pada sidang media hari ini.
Noor Hisham berkata, kes dalam kluster itu mula dikesan di daerah Machang tetapi kini menular ke Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.
Katanya, malah kluster itu menular ke daerah Besut di Terengganu.
“Kluster ini menunjukkan kebolehjangkitan tinggi dan terdapat risiko penularan tidak terkawal sekiranya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak dilaksanakan,” katanya.
Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Kelantan bermula esok susulan peningkatan kes Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu bermula 21 November sehingga 6 Disember.