
Presiden SLS Roger Chin berkata: “Setakat kami tahu Datuk (Soh) masih peguam besar negeri dan tiada sebarang pengumuman dibuat kerajaan Sabah.”
Chin berkata, Soh mempunyai semua kualiti dikehendaki untuk menjadi “peguam besar negeri yang sangat bagus” dan memaklumkan SLS tidak melihat sebarang sebab mengapa Soh harus diminta melepaskan jawatan.
“Ketika Soh dilantik sebagai peguam besar negeri, tidak keterlaluan untuk mengatakan pelantikan itu mendapat persetujuan sebulat suara dalam kalangan pengamal undang-undang di Sabah.
“Atas hubungan kami dengan Soh sebelum ini, SLS menjalin hubungan kerja yang baik dengan Jabatan Peguam Negara Sabah dan kemajuan dalam beberapa isu penting.
“Kami berharap dapat mencapai banyak perkara pada masa depan dengan Soh demi kepentingan rakyat Sabah.”
Chin diminta mengulas laporan FMT, tekanan semakin meningkat terhadap Soh supaya melepaskan jawatannya berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya negeri 26 September lalu.
“Peralihan yang lancar perlu kerana jawatan itu penting untuk membantu kepimpinan politik baharu,” kata sumber kepada FMT.
Sumber itu turut berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu memilih seorang yang mereka boleh bekerjasama dengan selesa.
FMT menghubungi jabatan ketua menteri dan Soh untuk mendapatkan respons mereka.