‘Frontliner’ hibur pesakit Covid-19 di pusat kuarantin

‘Frontliner’ hibur pesakit Covid-19 di pusat kuarantin

Seorang kakitangan perubatan berkata pekerja terbabit hanya mahu menggembirakan pesakit dan petugas barisan hadapan di pusat itu.

Seorang pekerja kesihatan menyanyikan lagu popular tempatan “Original Sabahan”.
KOTA KINABALU:
Video menunjukkan pekerja kesihatan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) menyanyi dan menari tarian Sumazau kepada pesakit di sebuah pusat kuarantin Covid-19 di Sabah tular sejak semalam.

Beberapa video pendek dipercayai dirakam di Pusat Kebudayaan Penampang menunjukkan seorang pekerja kesihatan menyanyi lagu popular “Original Sabahan” manakala rakan sekerjanya menari mengikut rentak lagu itu.

Turut kelihatan dalam salah satu video, dipercayai seorang pesakit menari tarian tradisi Kadazan, Sumazau, apabila pekerja kesihatan menghiburkan mereka dengan lagu berkenaan di pusat yang boleh menampung 100 katil itu.

Seorang kakitangan perubatan yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, pekerja terbabit hanya mahu menggembirakan pesakit dan petugas barisan hadapan lain di pusat itu.

“Mereka tidak berniat menjadikan video itu tular. Pesakit juga merakam persembahan mereka dan berkongsi video itu, sebab itu ia tular,” katanya.

Pekerja itu berkata, pasukan berkenaan sedar tekanan emosi dan mental pesakit serta rakan sekerja lain, jadi mereka datang dengan idea itu.

“Ia berniat baik dan pasukan itu berharap ia sedikit sebanyak menggembirakan semua orang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.