
Annuar berkata, kenyataan Tan seperti yang dilaporkan Malaysiakini itu merupakan satu tuduhan serius, yang secara tidak langsung menjejaskan kredibilitinya sebagai menteri dan imej DBKL.
Tan dilapor menuduh Annuar menjual 42 plot tanah DBKL dalam tempoh 8 bulan menjawat tugas menteri.
“Bila saya baca komentar di media sosial, masyarakat melemparkan pelbagai celaan dan tuduhan terhadap saya, berpunca dari kenyataann Tan.
“Sehingga ke hari ini, tidak ada satu permohonan dari bandaraya yang memohon untuk menjual aset dari bandaraya. Saya tidak pernah terima apa-apa permohonan dari bandaraya. Jadi saya berasa sangat kecewa dan sangat dukacita dengan dakwaan ahli Parlimen ini,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Annuar turut memaklumkan pihaknya menyambut baik pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini bahawa DBKL tidak mempunyai SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya, sehinggalah pada 2015 ia ditambah baik dan mendapat pengiktirafan ISO.
“Berhubung proses penjualan tanah milik DBKL, perkara yang berbangkit adalah perkara sebelum tahun 2019 dan dalam proses tersebut menteri yang dipanggil memberikan keterangan adalah bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
“Ini bukan pada waktu saya, tetapi apa yang saya baca adalah satu proses pendengaran dan penyiasatan panjang. Saya sendiri sudah meminta SOP itu diteliti dan terus diperbaiki.
“Namun pada hemat saya, kerajaan Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan mereka sepatutnya selesaikan perkara ini,” katanya.
PAC sebelum ini berkata, kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi tanah milik DBKL yang terjual sejak 2011 tidak merujuk sebarang SOP.
Ia berkata, proses tersebut terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota.
Mengulas mengenai saranan PAC supaya Yayasan Wilayah Persekutuan (WP) didaftarkan sebagai badan berkanun, Annuar berkata, ia tidak boleh dilakukan memandangkan yayasan berkenaan bukan badan milik kerajaan, sebaliknya hanyalah sebuah NGO.
“Yayasan WP sebuah badan NGO, tidak terima sebarang dana kerajaan, ia adalah sebuah badan yang ditubuhkan sebagai badan NGO dan tatakelolanya bergantung pada memorandum dan artikel (penubuhannya) yang diluluskan sebelum ini,” katanya.
Penelitiannya juga mendapati, Datuk Bandar Kuala Lumpur bukanlah pemegang amanah dalam Yayasan WP, justeru tidak timbul konflik kepentingan di antara Datuk Bandar dan DBKL.
Ini susulan pendedahan PAC bahawa Datuk Bandar KL memegang jawatan dalam yayasan itu.
“Namun, saya ambil dari sudut positif, saya sedang teliti perakuan yang dibuat PAC. Saya sedia untuk tambah baik,” katanya.