
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ia merupakan keputusan yang bijak memandangkan pandemik Covid-19 terus mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.
“Keperluan menghentikan penyebaran virus itu dan melindungi kesihatan rakyat adalah amat penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Sultan Abdullah hari ini mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah bekerjasama tanpa henti dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengatasi pandemik tersebut di negeri itu.
Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee yakin pengundi di Batu Sapi berasa lega dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di kawasan parlimen itu.
“Memandangkan semakin seriusnya pandemik Covid-19, termasuk di Sandakan, saya percaya masyarakat umumnya menerima pengisytiharan darurat di Batu Sapi, yang kesannya ialah penyebaran Covid-19 dapat diminimumkan atau dielakkan sepenuhnya.
“Oleh itu, saya percaya rakyat berasa lega kerana pilihan raya kecil Batu Sapi ditunda sehingga risiko jangkitan dan berakhirnya penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi.