Putrajaya teruskan ECRL walaupun Covid-19, capai 19% kemajuan

Putrajaya teruskan ECRL walaupun Covid-19, capai 19% kemajuan

Projek itu mencapai kemajuan 19.09% setakat 31 Okt lalu berbanding 18.3% berdasarkan jadual, iaitu mendahului jadual sebanyak 0.79%.

Kemajuan kerja fizikal ECRL ketika ini ialah 0.16% mendahului jadual dan kerja fizikal giat dijalankan di Seksyen B dari Dungun ke Temerloh.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tetap diteruskan walaupun negara berdepan krisis Covid-19, dengan pembinaan sudah bermula di Seksyen A dan B.

Katanya, projek itu mencapai kemajuan 19.09% setakat 31 Okt lalu berbanding 18.3% berdasarkan jadual, iaitu mendahului jadual sebanyak 0.79%.

“Bagi Seksyen A, iaitu dari Kota Bharu ke Dungun, skim kereta api telah diluluskan pada 14 Mei lalu merangkumi pembinaan 6 stesen, iaitu Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

“Kelulusan ini bertepatan program kerja penyediaan tapak yang dilaksanakan bermula pertengahan 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) adakah projek ECRL akan diteruskan tahun depan sedangkan negara masih berusaha memerangi Covid-19.

Hasbi berkata, kemajuan kerja fizikal ketika ini 0.16% mendahului jadual dan kerja fizikal giat dijalankan di Seksyen B dari Dungun ke Temerloh.

“Sejak disambung semula pada Julai 2019, kemajuan kerja fizikal di seksyen ini mencapai 5.93% berbanding jadual 4.07% (mendahului jadual 1.86%) merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir telahpun dimulakan.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula di 101 lokasi di sepanjang Seksyen A dan B menjelang penghujung 2020.”

Katanya, bagi Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan sedang mengkaji jajaran terbaik untuk memastikan ECRL memberi impak ekonomi maksimum apabila disiapkan kelak.

Beliau berkata, jajaran terbaik yang memberi impak maksimum kepada rakyat akan diumumkan apabila kajian lengkap.

“Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

“Kelebihan logistik ini akan dicapai tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan penumpang, sekaligus menjadikan ECRL sebagai pemangkin ekonomi dan pekerjaan bagi kawasan di sepanjang jajarannya.”

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, RM20.37 bilion sudah dibayar kepada syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi pembinaan projek ECRL sehingga 13 Julai lalu.

Kerja pembinaan ECRL dihentikan sementara mulai 3 Julai 2018 sehingga April 2019, dengan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu berunding kontrak itu dengan Beijing.

Projek ECRL sepanjang 640km itu disambung semula selepas perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC dimeterai pada 12 April 2019 membabitkan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL yang menghubungkan negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya dijangka dapat menjadikan perjalanan antara Kota Bharu dan Putrajaya kira-kira 4 jam dengan kelajuan 160km/j bagi kereta api penumpang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.