
Pengerusi Saarani Mohamed, ketika ditemui selepas suatu majlis pelancaran di Bangunan Perak Darul Ridzuan, berharap semua dapat bersepakat membiarkan Barisan Nasional menang tanpa bertanding di Gerik.
“Hanya satu calon sahaja, makanya ia sudah pasti akan disokong oleh PAS, PPBM, dan rakan dalam PN. Lebih mulia juga jika pembangkang tidak bertanding,” katanya.
Beliau menambah kemenangan di Gerik tidak mengubah kedudukan di peringkat persekutuan.
Pada pilihan raya umum 2018, Umno mempertahankan Gerik bagi pihak Barisan Nasional dengan majoriti 5,528 undi ditentang calon PAS dan PKR.
Penyandangnya, Hasbullah Osman, meninggal dunia selepas serangan jantung pada Isnin. Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menggesa tiada pertandingan melawan Umno pada PRK Gerik, kerana keselamatan awam perlu jadi keutamaan.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, hari ini menyambut baik cadangan DAP itu, mengatakan perhatian kini harus ke arah menghentikan penularan wabak.
“Ia satu pandangan yang boleh diterima dalam keadaan ‘kita jaga kita’,” katanya kepada pemberita selepas majlis yang sama di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Faizal menambah sebaiknya cuba elakkan pilihan raya yang kebiasaannya akan melibatkan kempen dan kegiatan lain yang boleh mengakibatkan penularan secara berterusan.
“Ini yang kita nak hentikan, sekarang ini kita dapati kes positif Covid-19 semakin meningkat,” katanya.
Ditanya mengenai calon bagi PRK Gerik, Faizal, yang juga timbalan presiden PPBM, berkata partinya akan berbincang dengan Umno dan PAS berhubung perkara itu.
“PPBM sentiasa akan berpakat dengan Umno dan Pas sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.