
Ia berikutan pemain utama industri itu menyuarakan kekecewaan mereka terhadap peruntukan kepada perniagaan berkaitan pelancongan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada 6 November lalu.
Selain inisiatif dibentangkan Tengku Zafrul, Nancy berkata kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta kepada pakej rangsangan bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2021.
“Peruntukan ini tidak diumumkan secara terperinci ketika pembentangan belanjawan dan ia menyebabkan pemain industri berasa mereka tidak dimasukkan tetapi ia tidak benar.
“Saya juga ingin menekankan pakej rangsangan RM200 juta ini bukan pakej tambahan. Ia termasuk dalam peruntukan RM1.14 bilion yang diterima kementerian,” katanya pada sidang media hari ini.
Nancy berkata, beliau sudah menjelaskan mengenai peruntukan itu kepada pemegang taruh industri pelancongan dalam mesyuarat berasingan.
Menurut Nancy, pakej rangsangan itu akan memberi bantuan dalam bentuk rebat, diskaun atau subsidi terhadap pakej pelancongan menerusi platform dalam talian selain kerjasama dengan persatuan pelancongan tempatan, taman tema, persatuan rumah inap, kraf dan pusat beli belah supaya mereka dapat menawarkan pakej pelancongan yang menarik kepada orang ramai.
Ditanya adakah pakej rangsangan pelancongan cukup untuk memulihkan industri itu, beliau berkata kementerian masih ada dana yang belum dibelanjakan daripada Belanjawan 2020 dan ia boleh digunakan untuk meningkatkan pemulihan.
“Kami menerima pakej rangsangan sebanyak RM30 juta daripada Belanjawan 2020 dan setakat ini hanya 1/3 peruntukan digunakan. Tiada sebarang isu mengenai pakej RM200 juta itu terlalu sedikit untuk memulihkan sektor ini,” katanya.
Mengenai cadangan dikemukakan kementerian itu untuk membenarkan perjalanan rentas negeri antara zon hijau di negeri tertakluk bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), beliau berkata kerajaan mungkin akan meluluskan cadangan berkenaan selepas SOP diperhalusi.
Ditanya mengenai gelembung perjalanan dengan negara jiran seperti Brunei dan Singapura, beliau berkata kementerian sentiasa bersedia dan menyediakan SOP serta pakej pelancongan sekiranya inisiatif itu diluluskan.
“Kami sudah bersedia dengan gelembung perjalanan tapi kami tidak mengawal sempadan dan ia bukan bidang kuasa kementerian. Kami perlu menunggu kelulusan kerajaan,” tambahnya.