Laporan semak pelaksanaan MA63 ‘rahsia rasmi’, tak perlu dedah, kata timb menteri

Laporan semak pelaksanaan MA63 ‘rahsia rasmi’, tak perlu dedah, kata timb menteri

Kerajaan masih berpendirian tiada keperluan dedah laporan akhir jawatankuasa khas Kabinet bagi menyemak pelaksanaan MA63 kepada umum.

Hanifah Hajar Taib. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan masih berpendirian tiada keperluan untuk mendedahkan laporan akhir jawatankuasa khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) kepada umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Hanifah Hajar Taib berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek perundangan.

“Setakat hari ini kerajaan masih mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan ini didedahkan kepada umum.

“Keputusan ini mengambil kira pelbagai aspek seperti perundangan memandangkan isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal serta melibatkan perkara yang sensitif yang berstatus rahsia rasmi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang ingin tahu sekiranya kerajaan berhasrat membentangkan laporan akhir bagi bacaan umum berhubung JKK untuk menyemak pelaksanaan MA63.

Terdahulu, Hanifah turut berkata kerajaan hari ini hanya meneruskan dasar yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu dan sama sekali tidak berniat untuk melengahkan pelaksanaan keputusan yang dicapai oleh JKK terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.