Imunisasi baharu kurang suntikan, cegah penyakit sama, kata KKM

Imunisasi baharu kurang suntikan, cegah penyakit sama, kata KKM

Kanak-kanak berumur 1 bulan dan 6 bulan tidak perlu lagi diberi vaksin hepatitis B.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin kombinasi 6 serangkai itu berkesan dan selamat. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengumumkan jadual imunisasi kebangsaan baharu yang akan menyaksikan pengurangan bilangan suntikan untuk kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, vaksin kombinasi 5 serangkai yang digunakan sejak 2008 akan digantikan dengan vaksin kombinasi 6 serangkai.

Pertukaran akan dibuat secara berperingkat seawal bulan ini.

Kombinasi itu merangkumi difteria, tetanus, pertussis, polio, hepatitis B dan Haemophilus influenzae type B.

Terdahulu, suntikan vaksin hepatitis B tidak termasuk dalam vaksin kombinasi 5 serangkai, di mana kanak-kanak diberi vaksin itu secara berasingan semasa lahir, dan pada umur 1 bulan dan 6 bulan.

Hisham berkata, kini hepatitis B dimasukkan dalam vaksin kombinasi 6 serangkai, di mana kanak-kanak hanya perlu menerima 5 suntikan vaksin dan bukannya 7.

Mereka tidak perlu lagi menerima suntikan vaksin hepatitis B ketika berusia 1 bulan dan 6 bulan. Bagaimanapun, mereka masih akan diberi vaksin itu semasa lahir.

“Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan,” katanya, sambil menambah ibu bapa masih perlu membawa bayi mereka untuk pemeriksaan berjadual.

Hisham berkata penggunaan vaksin kombinasi 6 serangkai itu selamat dan berkesan, sambil menambah Pertubuhan Kesihatan Sedunia memantau penggunaannya di 49 negara.

Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.

Mereka yang mempunyai pertanyaan mengenai jadual imunisasi kebangsaan baharu itu boleh menghubungi kementerian di 03-88834042 atau 03-88834504 pada Isnin hingga Jumaat antara 9 pagi hingga 5 petang atau mendapatkan penjelasan lanjut di klinik kesihatan berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.