Najib tak nak terlebih kritik Shafie kerana mungkin jadi ‘rakan’ gabungan

Najib tak nak terlebih kritik Shafie kerana mungkin jadi ‘rakan’ gabungan

Terdahulu, Setiausaha Agung MN, Annuar Musa, mencadangkan pembentukan suatu "grand coalition" melibatkan 12 atau lebih parti, termasuk Warisan.

PETALING JAYA:
Bekas presiden Umno, Najib Razak, tidak mahu terlalu mengkritik Shafie Apdal susulan cadangan Umno dan Warisan menyertai sebuah gabungan perdana baru bersama sedozen atau lebih parti lain.

“Dia (Shafie) kata biarkan dia mati dalam gelanggang politk walaupun akhirnya parti dia kalah juga dan ramai yang mati akibat Covid-19,” kata Najib.

Beliau mengulas laporan memetik Shafie sebagai mempertahankan keputusan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah Julai lalu untuk pilihan raya negeri (PRN) di adakan walaupun wabak Covid-19 masih serius.

Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah menyumbang kepada peningkatan kes mendadak di negeri itu dan di Semenanjung kerana ketidakpatuhan pada SOP.

Najib tidak bersetuju dengan tindakan Shafie namun tidak mahu terlalu kritikal terhadap bekas ketua menteri Sabah itu.

“Saya pun tak nak terlebih kritik Shafie sebab terbaca berita pagi ini bahawa kononnya ada kemungkinan kita akan bersama dia dan Atok dalam gabungan politik yang sama,” tambah beliau secara sinis. Najib sering merujuk  Dr Mahathir Mohamad sebagai “atok”.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Annuar Musa mencadangkan pembentukan “grand coalition”  atau gabungan perdana melibatkan 12 atau lebih parti, termasuk Warisan pimpinan Shafie dan Pejuang yang diasaskan Mahathir.

Annuar melontar cadangan itu untuk mencapai “penyatuan ummah” dan membawa politik negara ke tahap lebih tinggi setelah kian lama bertumpu kepada “2-3 personaliti”.

Shafie ketika ditanya Mohamad Alamin (BN-Kimanis) di Dewan Rakyat tengah hari tadi apakah beliau kesal mencadangkan pembubaran DUN Sabah berkata: “Saya rela mati dalam gelanggang politik daripada menyerahkan kerajaan”.

“Biar rakyat tentukan,” tambahnya, menurut laporan Malaysiakini.

Bagi Shafie, PRN Sabah tidak akan berlaku jika pentadbirannya tidak diganggu.

“Nak serah kuasa baik saya mati dalam gelanggang politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.