Inisiatif pendigitalan dalam belanjawan permudah rakyat lalui norma baru

Inisiatif pendigitalan dalam belanjawan permudah rakyat lalui norma baru

krisis Covid-19 mengehadkan jualan bersemuka kerana risiko kesihatan.

Melalui inisiatif kerajaan seperti kempen Shop Malaysia Online, PKS kini boleh berurus niaga secara atas talian.
PETALING JAYA:
Pemilik perniagaan, usahawan dan pelajar menyambut baik inisiatif pendigitalan kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dengan berkata, pendigitalan akan membantu mereka melangkah maju dengan norma baru.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata, dana RM150 juta yang diperuntukkan untuk kempen Shop Malaysia Online sangat penting, terutamanya susulan krisis Covid-19 yang mengehadkan jualan bersemuka kerana risiko kesihatan.

“Banyak PKS masih sangat tradisional, jadi ia perlukan pendigitalan untuk menjalankan urus niaga atas talian. Susulan pandemik ini, orang ramai tidak boleh keluar (rumah) dan PKS perlu berkomunikasi dengan pelanggan dan menjual produk mereka secara atas talian,” katanya kepada FMT.

Kang berkata, rancangan kerajaan itu juga menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada perniagaan bagi membolehkan mereka bertahan sepanjang tempoh krisis, sekali gus menambah bahawa penggunaan platform digital adalah satu-satunya langkah maju.

“PKS tidak akan mampu bertahan sekiranya mereka kekal dengan cara tradisi. Tanpa pendigitalan, mereka hampir pasti akan tutup kedai dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ini.”

Beliau berharap, proses permohonan dan kelulusan dipermudahkan supaya tidak terus membebankan pemilik perniagaan yang sedia tertekan.

Pekebun kopi di Kota Kinabalu, Sabah, Hanteh Ginsos berkata, peruntukan sebanyak RM35 juta untuk mempromosi produk tempatan adalah langkah baik kerajaan bagi membantu usahawan mikro sepertinya.

Ginsos, yang sebelum ini menjalankan perniagaan ekopelancongan dengan membawa pelancong mengikuti proses penanaman kopi secara tradisional, mengambil keputusan untuk menjual biji kopi di platform e-dagang Shopee berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lepas.

Beliau berkata, sehingga kini 90% daripada pendapatannya adalah daripada jualan atas talian.

Dengan penguatkuasaan perintah sekatan pergerakan di Sabah sekarang, hampir mustahil beliau boleh membuat penghantaran bersemuka kepada pelanggan.

Ginsos juga mengalu-alukan dana RM150 juta yang disediakan untuk program latihan dan bantuan kepada 100,000 usahawan dengan berkata, ia sangat diperlukan oleh individu yang mahu mewujudkan kedai atas talian masing-masing.

“Kebanyakan rakan saya, yang merupakan usahawan kecil, cuba bergerak ke arah pendigilan, tetapi terhalang kerana kos yang terlibat.

“Laman web perlu diselenggarakan, sementara pengiklanan dan pemasaran perlukan banyak wang. Jadi kami mahu memohon geran yang disediakan ini bagi mengurangkan beban kewangan kami.”

Dalam pada itu, presiden persatuan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Aina Zafirah berkata, beliau menghargai keputusan untuk menaik taraf tahap kepantasan sambungan internet di universiti kerana pembelajaran atas talian kini merupakan norma baru.

Mengakui bahawa ramai pelajar masih kekurangan bahan sesuai untuk menghadiri kelas atas talian, Aina berkata, peruntukan belanjawan itu adalah “langkah mula yang baik” bagi membantu pelajar mengakses pelajaran secara maya.

Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk menaik taraf sambungan digital 430 sekolah di seluruh negara di bawah inisiatif Jendela, sementara 150,000 pelajar diberikan komputer riba di bawah dana Cerdik.

Selain itu, mereka yang berada dalam kelompok B40 diberikan kredit telekomunikasi dan data bernilai RM180.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.