Tidak semua tempat di bandar raya sesuai untuk berniaga, kata menteri

Tidak semua tempat di bandar raya sesuai untuk berniaga, kata menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, penjaja perlu berunding dengan Majlis Perwakilan Penduduk untuk makluman dan rekod data DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyampaikan surat tawaran lesen penjaja di tapak penjaja di Desa Pandan, Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di bandar raya itu yang kini dilabel sebagai “wilayah bebas berniaga”, namun tidak semua tempat sesuai dijadikan tapak berniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, penjaja masih perlu membuat rundingan dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk makluman dan rekod data Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, memang ada kawasan yang sesuai dan boleh digunakan sebagai tempat berniaga secara percuma, tetapi DBKL perlu sentiasa mengawalnya dan tapak berniaga perlu disusun dengan teratur.

“Saya gembira sejak pengumuman Kuala Lumpur akan menjadi wilayah bebas berniaga, ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Malah kita diberitahu penjaja dari luar wilayah juga datang dan kita tidak terlalu bertegas soal itu asalkan beri kerjasama dengan MPP serta DBKL,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran lesen penjaja di tapak penjaja di Desa Pandan di sini hari ini.

Annuar berkata, penjaja juga dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita sedia maklum kawasan Lembah Klang mempunyai kes yang tinggi dan jika tidak dikawal ia boleh melonjakkan kes jangkitan. Jika keadaan itu tidak terkawal, perniagaan juga perlu ditutup dan semua tidak boleh berniaga.

“Dalam sistem DBKL, jika berlaku pelanggaran SOP, amaran peringkat pertama, ke-2 akan dikeluarkan dan seterusnya penutupan serta-merta. Jangan andaikan tidak ada pengawasan dan kawalan oleh pihak DBKL, malah kawalan akan diperketatkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.