
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat serta penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi kawasan tersebut adalah sama seperti SOP yang diumumkan sebelum ini.
“Antaranya, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang, manakala pasar dibenarkan beroperasi 2 kali seminggu bermula 6 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam kenyataan.
Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan mengeluarkan duit daripada mesin pengeluaran wang atau bank dengan kebenaran pihak berkuasa yang membuat kawalan di jalan keluar masuk di kedua-dua lokaliti tersebut.
Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, negeri itu merekodkan 381 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 23,095 kes.
Kes bru hari ini merangkumi 95 di Kota Kinabalu, Tawau (65), Sandakan (51), Semporna (48) dan Lahad Datu (34).
Selain itu, 3 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas iaitu 2 di Sandakan dan 1 di Semporna.
Masidi berkata setakat hari ini, sebanyak 169,345 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasaran.