Profesor direman 6 hari berhubung rasuah pembelian tanah

Profesor direman 6 hari berhubung rasuah pembelian tanah

Profesor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah sebagai khidmat perunding pembelian tanah bagi tujuan pembangunan agensi tempatnya berkhidmat.

Seorang bekas pengurus besar sebuah institusi badan pengkaji ditahan selepas memberi keterangan kepada SPRM Selangor pada petang semalam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang bekas pengurus besar sebuah institusi badan pengkaji bergelar profesor direman 6 hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung rasuah berjumlah RM100,000 membabitkan pembelian tanah.

Perintah reman hingga Khamis depan itu dikeluarkan majistret Syajaratudur Abd Rahman di sini hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah sebagai khidmat perunding pembelian tanah bagi tujuan pembangunan agensi tempatnya berkhidmat, yang mana harga tanah berkenaan dinilai lebih tinggi daripada harga pasaran, kata sumber itu.

Bernama difahamkan lebihan nilai harga tanah itu adalah bagi pembayaran rasuah untuk dirinya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.