Persatuan runcit gesa kerajaan atasi ‘kekurangan’ dalam Belanjawan 2021

Persatuan runcit gesa kerajaan atasi ‘kekurangan’ dalam Belanjawan 2021

Persatuan juga berharap kerajaan akan memberikan pelepasan cukai individu bagi menyokong aktiviti membeli-belah atau pelancongan domestik.

Empat persatuan peruncitan menggesa kerajaan memberi pelepasan cukai kepada pusat membeli belah dan operator pelancongan.
KUALA LUMPUR:
Persatuan persatuan dalam industri peruncitan menyeru kerajaan supaya menangani “kekurangan” dalam Belanjawan 2021 sebagai respons kepada cabaran yang timbul akibat krisis pandemik daripada segi melindungi nyawa dan kehidupan.

Persatuan Rantaian Runcit Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Pertubuhan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Pusat Membeli-belah Malaysia dalam kenyataan bersama, secara kolektif mencadangkan antara lain agar kerajaan memberi pelepasan kewangan bersyarat kepada pemilik pusat membeli-belah dan pemilik tanah.

Ia berkata, penjimatan daripada bantuan penyewaan boleh digunakan bagi membantu perniagaan runcit dalam beberapa cara.

“Penjimatan itu boleh digunakan untuk membantu perniagaan runcit di premis masing-masing melalui pengecualian atau pengurangan cukai taksiran tanah dan bayaran utiliti seperti air, elektrik serta telekomunikasi.

“Untuk segera mengaktifkan skim pelepasan sewa tidak langsung tersebut, kami mencadangkan pelanjutan diskaun elektrik sehingga Disember 2021, dengan kesan retrospektif dimulakan pada Oktober 2020,” kata persatuan itu.

Diskaun ke atas caj elektrik yang diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi sektor ekonomi terpilih tamat pada September lepas.

“Kami juga berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengetepikan semua obligasi pembayaran berkanun sehingga 31 Dis 2021, atau selama setahun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, yang mana lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.

Persatuan juga berharap kerajaan akan memberikan pelepasan cukai individu bagi menyokong aktiviti membeli-belah atau pelancongan domestik.

Ia boleh dilakukan melalui pengecualian cukai individu untuk bajet RM1,000 sebulan atau RM10,000 mulai Mei hingga Disember 2020 bagi pembelian barangan dan perkhidmatan, yang akan dibuktikan dengan resit yang berkaitan, serta pengecualian cukai individu sebanyak RM5,000, yang akan dibuktikan dengan penyerahan resit terkait.

Persatuan berkenaan mencadangkan kedua-dua langkah itu berkuat kuasa serta-merta bagi tahun taksiran cukai 2020–2021.

”Dengan menggalakkan pelancongan domestik, ekosistem perniagaan tempatan akan mendapat manfaat melalui kesan melata yang secara tidak langsung yang menyokong pemulihanan industri pelancongan,” kata kenyataan itu.

Mereka juga mencadangkan untuk kerajaan mempertimbangkan perlindungan kepada perniagaan dengan menyemak semula Akta 2020 Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19), termasuk pelanjutan program subsidi upah dan moratorium pinjaman bank kepada perniagaan.

Persatuan juga mencadangkan pelepasan cukai bagi perbelanjaan keselamatan dan kebersihan serta program “gelembung perjalanan” untuk memulakan semula industri pelancongan, termasuk pengenalan pensijilan pematuhan SOP Covid-19 kepada premis runcit dan restoran bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.