Pembeli terhimpit antara rumah PPR dengan pasaran terbuka

Pembeli terhimpit antara rumah PPR dengan pasaran terbuka

Pemaju berkata, jurang harga itu disebabkan syarat yang dikenakan ke atas pemaju supaya membina projek perumahan mampu milik.

Rumah teres yang dibangunkan oleh PRIMA Corporation milik kerajaan di Kedah berharga lebih RM193,000,
PETALING JAYA:
Pemaju berkata jurang harga antara perumahan PPR dengan hatta rumah paling murah di pasaran terbuka semakin melebar menyebabkan semakin ramai bakal pembeli dan penyewa terhimpit di tengah-tengah tanpa banyak pilihan.

Ketua eksekutif syarikat pemaju perumahan SP Setia, Khor Chap Jen berkata, jurang itu disebabkan syarat yang dikenakan ke atas pemaju supaya membina projek perumahan mampu milik.

“Di kawasan bandar, oleh sebab pemaju dikehendaki membina rumah mampu milik dan dijual pada kos tetap, apabila kos bertambah mereka tidak boleh mengubah harga tetap itu. Jadi mereka menaikkan kos unit pasaran terbuka mereka,” katanya kepada FMT.

Flat PPR hanya boleh dibeli oleh isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, sementara harga hartanah paling murah di pusat bandar adalah sekurang-kurangnya RM100,000.

Unit yang berharga lebih sedikit daripada syarat kelayakan PPR terkeluar dari pasaran hartanah.

Khor berkata, pemaju bersedia menyumbang dana untuk projek perumahan mampu milik, tetapi pembinaannya hendaklah dilakukan oleh kerajaan.

“Industri sentiasa meminta kerajaan mengambil alih tanggungjawab membina perumahan mampu milik, sekali gus membolehkan pemaju memberi tumpuan kepada pasaran terbuka, sekali gus menurunkan harga,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif ejen hartanah Henry Butcher Tang Chee Meng mencadangkan supaya kerajaan membeli sebilangan daripada rumah kos rendah daripada pemaju swasta dan menyewakannya kepada kumpulan tidak bernasib baik yang tidak mampu membeli rumah.

Ia menyerupai skim yang dilaksanakan di Lisbon, Portugal yang menyaksikan kerajaan tempatan menyewa unit kosong sebelum menyewakannya semula sebagai perumahan yang disubsidi. Skim sama juga dijangka dilaksanakan di Barcelona.

Seorang pemaju perumahan di Melaka yang enggan dikenali mencadangkan penubuhan sebuah lembaga perumahan, seperti dilaksanakan di Singapura, yang akan menggubal dan melaksanakan dasar perumahan yang berkesan.

Beliau berkata, dengan harga rumah di sesetengah kawasan bermula dari RM1,000 sebulan, antara langkah yang boleh dibuat ialah menawarkan subsidi sewa kepada pekerja muda dengan had tempoh 5 tahun

Langkah itu katanya, “memberi masa kepada mereka untuk menyimpan, meningkat naik dalam kerjaya dan berada di kedudukan lebih baik pada akhir tempoh itu.”

Katanya, terserah kepada pemaju untuk mengatasi masalah lebihan penawaran, bukannya kerajaan.

Beliau berkata, perlu ada fokus bagi memastikan semua orang boleh tinggal di rumah yang mampu mereka milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.