Lembaga minyak sawit sambut baik langkah benar PATI bekerja

Lembaga minyak sawit sambut baik langkah benar PATI bekerja

MPOB berkata, negara sedia mengalami kekurangan sekitar 36,000 pekerja dalam sektor perladangan sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Industri minyak sawit bergelut dengan masalah kekurangan buruh yang serius, sekali gus menyebabkan hasil pengeluaran berkurang.
PETALING JAYA:
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyambut baik langkah untuk mengesahkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan berkata, ia akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang berterusan dalam sektor itu.

“Jika mereka melalui saluran betul dan disahkan serta digunakan untuk bekerja dalam industri, saya rasa ia adalah satu langkah baik,” kata ketua pengarah MPOB Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada FMT.

“Ia akan membantu industri ini kerana ia amat memerlukan pekerja.”

“Jika kita tahu bilangan mereka maka kita dapat memantau mereka. Ini kerana mereka sudah berada di sini. Kita boleh terus melatih mereka dan membenarkan mereka bekerja.

Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

“Saya rasa ia juga akan membantu kerajaan meningkatkan hasil kerana kami boleh menuai ke tahap maksimum sekiranya mempunyai pekerja tambahan.”

Ahmad berkata, industri itu kekurangan sekitar 40,000 pekerja dan ia menyebabkan pengeluaran berkurang.

Sebelum ini MPOB berkata, simpanan stok minyak sawit negara menguncup sebanyak 8.6% bulan ke bulan kepada 1.57 juta tan pada Oktober, iaitu angka terendah sejak Jun 2017.

“Pengeluaran pada Oktober juga menyusut sebanyak 7.8% bulan ke bulan kepada 1.72 juta ton, terendah sejak Mei.

Mohamad Nageeb Wahab.

Pada Julai, ketua pegawai eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Mohamad Nageeb Wahab berkata, industri itu kehilangan sebanyak 25% potensi hasil minyak sawit kerana masalah kekurangan buruh.

Beliau mengingatkan bahawa kerugian akan meningkat sekiranya langkah kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing tidak ditarik balik, selain menambah bahawa negara sedia mengalami kekurangan sekitar 36,000 pekerja sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Pada Khamis, Kementerian Dalam Negeri berkata, bahawa ia akan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI dari 16 Nov hingga 30 Jun tahun depan.

Bagaimanapun, setiausaha eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW), A Navamukundan memberi amaran bahawa tidak mudah untuk menyerap pekerja yang baru disahkan ke dalam sektor perladangan.

Beliau berkata, kerja memetik buah misalnya bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan semua orang.

“Ia melibatkan banyak kemahiran dan pengalaman,” katanya kepada FMT.

Merujuk kepada hubungan antara majikan, pekerja dan vendor pihak ke-3, beliau berkata, kerajaan mesti terlebih dahulu memastikan bahawa “hubungan pekerjaan tiga segi” dihentikan.

“Di situlah berlakunya percabulan hak asasi manusia dan pelanggaran hak pekerja dan kita dikecam oleh dunia kerananya,” katanya.

Ketika mengumumkan pelan regularisasi itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berjanji bahawa ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen, Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia dan agensi kerajaan lain tanpa penglibatan pihak ke-3 dan vendor.

Hamzah berkata, kerajaan dijangka memperolehi RM95 juta daripada denda dan dakwaan lain yang dikenakan ke atas pendatang asing dan majikan, tetapi angka itu dipersoalkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

“MTUC berharap perbincangan boleh diadakan untuk mengetahui bagaimana kerajaan memperoleh angka RM95 juta itu,” kata naib presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani kepada FMT.

“Kami juga mahu tahu sekiranya kos mengesahkan PATI akan dikekalkan pada paras minimum bagi menarik perhatian, bukannya menakutkan mereka.

“Kami meminta kerajaan menguatkan mekanisme dalaman untuk menghapuskan amalan rasuah.”

Effendy mendakwa Malaysia mempunyai rekod dalam merangka terlalu banyak dasar ad hoc dan kebanyakannya melayan pekerja asing dengan buruk.

Beliau berkata, beberapa program itu gagal kerana terdapat “kelemahan besar” dalam pelaksanaannya.

“Kita tidak mahu melihat satu lagi program yang digunakan oleh pihak tertentu untuk memperoleh keuntungan besar dengan memangsakan pekerja asing,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.