
Menteri Wilayah Persekutuan,Annuar Musa berkata , akta baru itu akan menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) untuk pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.
Annuar berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas daripada AGC sebelum membawa perkara itu kepada Jemaah Menteri dan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk diluluskan.
“Selepas diteliti pihak Jabatan Peguam Negara, kita akan bawa kepada penelitian Jemaah Menteri dan setelah mendapat persetujuan ia akan dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Akta baru ini bagi memudahkan beberapa halangan perundangan yang kita kenal pasti menyebabkan pembangunan, nilai tanah dan daya saing aset di Kampung Baru rendah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di Kampung Baru.
Katanya, kerajaan komited untuk meneruskan agenda pembangunan Kampung Baru dengan menggunakan beberapa kaedah yang diperbaharui.
Annuar berkata, menerusi akta baru itu juga pembangunan Kampung Baru akan diselaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040.
“Menerusi akta baharu itu, kita turut menggunakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040.
“Pelan itu tidak akan diskriminasi Kampung Baru, kita akan pastikan ia dibangunkan setara dengan pembangunan di kawasan sekitarnya.
“Kita juga sedang menyiapkan pakej pembangunan 44 parcel di Kampung Baru, sebahagiannya akan dipilih untuk pembangunan dalam kadar segera dan saya sedang berunding dengan Kementerian Kewangan,” katanya.
Annuar berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tahun hadapan, kementerianya akan memfokus kepada usaha meningkatkan prasarana di Kampung Baru supaya setanding dengan kawasan sekitar.
“Kita tak perlu tunggu pembangunan Kampung Baru, ia boleh dimulakan dulu,” katanya.
Jun lalu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) berkata, MAS tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.