
Mustapa dalam kenyataan hari ini berkata, mesyuarat yang akan turut disertai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan beberapa kementerian utama akan turut membincangkan pelan pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan 2021.
“Di bawah pakej Prihatin, kerajaan memperuntukkan RM4 bilion untuk projek yang dilaksanakan oleh kontraktor kelas G1 dan G2, manakala dalam Belanjawan 2021 pula, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan.
“Ini akan memanfaatkan kira-kira 54,000 kontraktor kelas G1 dan 24,000 kontraktor kelas G2 di seluruh negara,” katanya.
Mustapa berkata, walaupun ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan, keadaan itu masih jauh daripada keadaan sebelum krisis memandangkan vaksin Covid-19 masih belum berjaya dengan sepenuhnya dan sempadan negara masih ditutup.
“Justeru, dalam menjalani kehidupan normal baru ‘bersama’ Covid-19, kita perlu terus mencari jalan yang kreatif untuk memastikan kelangsungan ekonomi tidak terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku ke-3 2020 yang mencatatkan penguncupan 2.7% adalah lebih baik berbanding dengan jangkaan konsensus Bloomberg yang menganggarkan penguncupan sebanyak 4.0% dan ini memberi petunjuk yang jelas bahawa negara berada di landasan yang tepat untuk pemulihan.
Beliau turut menjelaskan setakat 8 Nov 2020, sebanyak 80.6% daripada RM64.96 bilion peruntukan perbelanjaan pembangunan 2020 dibelanjakan.