Gangguan bekalan air di Sik, Kuala Muda, pulih petang ini, kata exco negeri

Gangguan bekalan air di Sik, Kuala Muda, pulih petang ini, kata exco negeri

Gangguan bekalan air kerana henti tugas 3 loji rawatan air menjejaskan lebih 130,000 penduduk di daerah Sik dan Kuala Muda sejak Khamis lepas.

Polis menahan 7 lelaki, termasuk 4 warga Indonesia kerana dipercayai menyebabkan tumpahan minyak diesel yang menyerap masuk ke dalam Sungai Muda, Kedah dan menjadi punca henti tugas 3 loji rawatan air di daerah Sik dan Kuala Muda.
SIK:
Gangguan bekalan air membabitkan 34,200 akaun pengguna dan menjejaskan lebih 130,000 penduduk di sekitar daerah Sik dan Kuala Muda sejak Khamis lepas, dijangka kembali pulih selewat-lewatnya petang ini.
Suraya Yaacob.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Suraya Yaacob, 3 loji rawatan air (LRA), iaitu LRA Jeniang Lama, LRA Jeniang Baru dan LRA Sungai Pau yang sebelum ini dihenti tugas susulan pencemaran sebelum ini telah beroperasi semula.

“LRA Jeniang Lama sudah mula beroperasi 5 petang semalam, manakala LRA Sungai Pau pula mula beroperasi kira-kira 12 tengah malam tadi.

“LRA Jeniang Baru pula mula beroperasi kembali pada 9 pagi tadi dan dijangkakan selewat-lewatnya petang ini semua akaun yang terjejas akan kembali menerima bekalan air,” katanya selepas melawat lokasi tumpahan minyak yang dipercayai menyebabkan pencemaran di 3 LRA berkenaan di Kampung Berona Kiri dekat sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran sumber air.

Khamis lepas, ketua pegawai eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Mohd Suhaimi Mohd Jusoh memaklumkan 34,200 akaun pengguna di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas 3 LRA tersebut ekoran pencemaran akibat tumpahan minyak diesel.

Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada tapak projek memasang “jacking pipe” yang terletak kira-kira 100 meter dari LRA Jeniang Lama yang dijalankan oleh pekerja sebuah syarikat.

Polis menahan 7 lelaki, termasuk 4 warga Indonesia yang dipercayai menjalankan kerja-kerja terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan perbuatan khianat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.