
Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan KDNK yang menguncup 2.7% bagi tempoh tersebut adalah lebih baik daripada jangkaan awal.
“Perbelanjaan pengguna yang menjadi teras ekonomi Malaysia susut pada margin lebih kecil berbanding suku sebelumnya, manakala eksport bersih naik 21.9% apabila ekonomi global mendapat dorongan selanjutnya,” katanya.
Mengulas prospek masa depan, belian berkata, aspek seperti perkembangan vaksin dan kemampuan negara menangani pandemik itu turut menjadi penentu sama ada ekonomi mampu pulih.
Menurut Mohd Afzanizam, perkembangan mengenai penemuan vaksin itu dapat “menjamin” pemulihan secara lebih jelas serta membolehkan ekonomi berfungsi sepenuhnya.

“Sokongan dasar daripada pihak berkuasa fiskal dan monetari misalnya juga amat besar dan sepatutnya boleh diterjemahkan kepada pemulihan lebih kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keadaan masih tidak menentu di beberapa bahagian dunia, khususnya di Eropah berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan baru-baru ini.
“Di peringkat domestik, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negeri juga boleh menjejaskan momentum pemulihan.
“Namun, secara keseluruhannya, ini menjadi permulaan yang baik untuk meningkatkan keyakinan apabila penemuan vaksin itu terus mendapat lebih banyak perhatian pada akhir-akhir ini.
“Pada masa sama, peruntukan Belanjawan 2021 yang besar itu juga dijangka dapat mendorong pemulihan ekonomi,” katanya.
Pengurus penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Lau Zheng Zhou berkata, vaksinasi akan menjadi kunci bagi penetapan semula ekonomi global dan membolehkan perkembangan ekonomi berjalan.
“Masih terlalu awal untuk mengulas aspek keberkesanan vaksin Covid-19. Pengeluaran secara besar-besaran dan seterusnya penggunaannya kepada pengguna akan mengambil masa yang lama.

“Ini bermakna, kita masih perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun atau setahun setengah sebelum dapat melihat vaksin itu digunakan.
“Pada masa sama, perniagaan dan pekerja tidak boleh sekadar melihat dan menunggu sahaja. Oleh itu, Malaysia, sama seperti dunia lain perlu mempelajari untuk menerima dan mengamalkan norma baru itu,” katanya.
Lau berkata, kerajaan perlu menghasilkan dokumen dasar sebagai panduan untuk pertumbuhan bagi jangka pertengahan dan panjang yang menumpukan aspek baru dan lebih berpotensi.
“Jika kita memikirkan sama ada ekonomi akan pulih dalam masa 12-24 bulan akan datang, bagi saya, apa yang penting adalah kemampuan Malaysia serta dunia untuk menangani pandemik tersebut.
“Malaysia adalah ekonomi berorientasikan eksport dan banyak bergantung kepada kestabilan dan persekitaran global.
“Kemampuan Malaysia untuk mencatat pemulihan kukuh bergantung sejauh mana kita mahu memanfaatkan peluang apabila pertumbuhan global kembali berlaku,” katanya.
Menurutnya, ini termasuk keperluan untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dalam masa terdekat, selain mengelak ekonomi terus diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Zakariah Abdul Rashid percaya KDNK Malaysia bagi 2021 adalah lebih rendah berbanding 2019.
“Bagi merealisasikan pertumbuhan -4.5% yang disasarkan bagi 2020, ekonomi pada suku ke-4 perlu mencatat pertumbuhan lebih 14.6%.
“Perlu diingat bahawa pada suku ke-3 kita mula membuka semula ekonomi sedangkan pada suku ke-4 keadaan sebaliknya (berikutan pelaksanaan PKPB),” katanya.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menjangka KDNK bagi 2021 akan berkembang antara 6.5%hingga 7.5% selepas menguncup 4.5% pada tahun ini berikutan wabak Covid-19.
Pada 2019, pertumbuhan ekonomi adalah 4.3%.
Jangkaan itu adalah seiringan dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada lingkungan 5.5% hingga 8% pada 2021.
Bagi tahun ini, BNM mengunjurkan pertumbuhan dalam lingkungan -5.5% dan -3.5%.