Tukang kayu baran didenda RM1,000 rosakkan kereta jururawat

Tukang kayu baran didenda RM1,000 rosakkan kereta jururawat

Menurut fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan besi karat di rumahnya untuk memukul bonet serta cermin depan kereta mangsa yang bergesel dengan keretanya.

Zainudin Zainal (kanan, depan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah merosakkan kereta seorang jururawat di Kampung Pengkalan Baru, Kepayang di Ipoh Ahad lalu.
IPOH:
Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah merosakkan kereta seorang jururawat yang bergesel dengan keretanya Ahad lalu.

Zainudin Zainal, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Tukang kayu itu didakwa melakukan khianat harta terhadap kereta Proton Saga milik Nurul Kamilah Baharudin yang mengakibatkan kerugian RM2,000 di Kampung Pengkalan Baru, Kepayang, dekat sini kira-kira 5.30 petang Ahad.

Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Syafini Mior Shahrin.

Terdahulu, Intan Syafini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas tertuduh yang menyesal atas tindakannya serta sudah memohon maaf kepada pengadu dan mahkamah.

Katanya, tertuduh mengakui kejadian itu berpunca daripada salah faham dan kegagalan mengawal emosinya.

Menurut fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan besi karat di rumahnya untuk memukul bonet serta cermin depan kereta mangsa yang bergesel dengan keretanya.

Semalam, media melaporkan kejadian itu menyebabkan jururawat hospital swasta itu trauma dan memberi kesan kepada 2 anaknya yang berusia 2 serta 9 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.