Polis tahan 25 ahli geng ‘TCB 21’

Polis tahan 25 ahli geng ‘TCB 21’

Menurut polis, geng TCB 21 adalah pertubuhan kongsi gelap yang aktif melakukan jenayah serius seperti cubaan bunuh menggunakan senjata api, merompak, khianat dengan api dan pemerasan.

Pada 25 Sept seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera akibat ditembak 2 suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 25 ahli geng ‘TCB 21’ disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah serius sekitar Banting dan Dengkil, Selangor mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata, dalam operasi pada 13 dan 14 Okt lepas, 29 anggota kumpulan jenayah terancang itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan serta Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan, kerana dipercayai terlibat dengan kes tembak ahli perniagaan dan pengawal peribadinya di Banting, pada 25 Sept.

“Siasatan ketika itu turut dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan mereka ditahan selama 28 hari.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya penahanan semula itu dilakukan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan dan aktiviti kumpulan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“Siasatan mendapati geng TCB 21 adalah pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif melakukan jenayah serius seperti cubaan bunuh menggunakan senjata api, merompak, melakukan khianat dengan api, pemerasan dan lain-lain,” katanya.

Pada 25 Sept lepas, dilaporkan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera akibat ditembak 2 suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting.

Insiden berkenan turut mengakibatkan 3 pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.