Pesakit Covid-19 paling lama dirawat lebih 100 hari, kata Noor Hisham

Pesakit Covid-19 paling lama dirawat lebih 100 hari, kata Noor Hisham

Pesakit Covid-10 warganegara merekodkan tempoh rawatan selama 98 hari, manakala bukan warganegara selama 108 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa kes rawatan Covid-19 memakan masa lama kerana selepas jangkitan beberapa komplikasi akan berlaku, antaranya pembekuan darah pada organ tertentu dan jangkitan kuman.
PUTRAJAYA:
Pesakit paling lama menerima rawatan akibat jangkitan Covid-19 adalah selama 98 hari bagi warganegara, manakala 108 hari bagi pesakit bukan warganegara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham berkata, tempoh itu termasuk rawatan di wad biasa dan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan pesakit benar-benar disahkan negatif wabak itu sebelum dibenarkan discaj.

“Pengalaman kita paling lama ialah 108 hari untuk kes bukan warganegara, manakala 98 hari bagi kes warganegara.

“Beberapa kes rawatan Covid-19 memakan masa lama kerana selepas jangkitan beberapa komplikasi akan berlaku, antaranya pembekuan darah pada organ tertentu dan jangkitan kuman,” katanya ketika mengulas mengenai rawatan kes Covid-19 di United Kingdom paling lama, iaitu 222 hari.

Mengulas mengenai wujudnya kluster baru membabitkan tempat kerja, Noor Hisham berkata, majikan digalakkan menjalankan ujian saringan berkala di tempat kerja kerana 70% kes tidak menujukkan gejala.

“Walaupun di tempat kerja ada imbasan suhu dan sebagainya, ia tidak memadai. Kita nak pihak majikan adakan saringan berkala,” katanya sambil menambah bahawa kluster di tempat kerja bukan kali pertama berlaku.

Daripada 158 kluster aktif yang dilaporkan, sebanyak 65 kluster (41.1%) adalah berkaitan dengan tempat kerja, termasuk 2 kluster baru yang diumumkan hari ini.

Sebanyak 5,681 kes positif Covid-19 berkaitan dengan kluster tempat kerja dikesan melibatkan 3,369 (59.3%) warganegara dan 2,312 (40.7%) bukan warganegara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.