Covid-19: Kilang di Pulau Pinang diarah tubuh jawatankuasa tindak balas kecemasan

Covid-19: Kilang di Pulau Pinang diarah tubuh jawatankuasa tindak balas kecemasan

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, SOP lebih ketat perlu dilaksana susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan kilang di negeri itu.

Enam kes baru Covid-19 dilaporkan membabitkan kilang elektronik utama di Bayan Lepas.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang hari ini meminta kilang di negeri ini menubuhkan Jawatankuasa Protokol Tindak Balas Kecemasan sekiranya terdapat pegawai serta pekerja yang dijangkiti Covid-19.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat perlu dilaksana susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang berlaku membabitkan beberapa buah kilang.

“Ini berasaskan kandungan surat pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Malah, pihak pengurusan juga digesa untuk tidak membenarkan pegawai serta pekerja yang mengalami demam atau mempunyai gejala untuk hadir bekerja dan harus memastikan mereka mendapat rawatan bagi memastikan tempat kerja tersebut adalah selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata, kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga diminta supaya meneruskan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua syarikat dan kilang yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Kepada seluruh rakyat Pulau Pinang, setiap seorang daripada kita adalah barisan hadapan. Wabak Covid-19 berada dalam komuniti kita, justeru, teruskan penjagaan kendiri, patuhi SOP dan jangan sesekali sebarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.