
Pengerusinya Bung Moktar Radin berkata, pihaknya mendengar banyak khabar angin, antaranya seorang pemimpin PPBM di kawasan Batu Sapi berminat untuk bertanding, tetapi sehingga kini tiada calon daripada GRS disahkan bertanding.
“Sesiapa sahaja kita bantu, kita dalam gabungan (GRS). Khabar angin itu semua orang ada dengar, belum pasti siapa dicalonkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah di sini, hari ini.
PRK Parlimen Batu Sapi diadakan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong daripada Warisan, yang meninggal dunia pada 2 Okt lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Nov ini sebagai tarikh penamaan calon, 1 Dis sebagai tarikh mengundi awal dan 5 Dis sebagai tarikh mengundi.
Pada 8 Okt, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi, manakala Naib Presiden Warisan Jaujan Sambakong pada 6 Nov berkata, parti itu sudah mengenal pasti calon.
GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS, membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini.
PN dianggotai PPBM, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).