
“Laporan ini akan menyebabkan Malaysia kelihatan sangat teruk dan kerajaan tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan dirinya,” katanya kepada FMT.
“Ini (akses) ialah hak asasi manusia.
“Kerajaan Malaysia sudah menggunakan kesamaran dan ketidakjelasan undang-undang untuk menolak mereka (pelarian dan pencari suaka) hak membuat panggilan telefon dan mendapatkan khidmat peguam ketika mereka ditahan.”
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 yang menjamin hak mereka yang diberi suaka di sebuah negara dan tanggungjawab negara yang memberikan suaka.
Pelarian dan pencari suaka dianggap pendatang asing tidak berdokumen atau pendatang asing tanpa izin di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) satu-satunya agensi yang menjalankan proses penentuan status pelarian (RSD) dan membantu penempatan semula ke negara ke-3 dan penghantaran pulang secara sukarela.
Minggu ini, UNHCR dilaporkan berkata, ia tidak dibenarkan menemui pelarian dan pencari suaka yang ditahan lebih setahun. Lawatan agensi itu bertujuan menentukan siapa yang perlu diberikan status pelarian dan dibenarkan meninggalkan negara ini.
Kira-kira 178,450 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat akhir bulan lalu – 46,730 daripadanya berusia 18 tahun ke bawah.
Benarkan lawatan tunjuk akauntabiliti
Glorene Das, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia Tenaganita, berkata lawatan UNHCR memberikan akauntabiliti yang sangat diperlukan di pusat tahanan – yang sering bergelut dengan kesesakan, sanitasi lemah dan aduan penderaan fizikal serta psikologi.
Katanya, maklumat dari NGO lain dan individu pernah ditangkap, dibebaskan atau dihantar pulang dari pusat tahanan “sangat jelas” menunjukkan pihak berkuasa tidak mempunyai kemudahan sesuai untuk menyediakan penjagaan kesihatan mencukupi kepada tahanan ketika Covid-19.
“Sudah lama kami katakan kem mesti dipantau badan bebas, tetapi ia tidak dibenarkan selama ini,” katanya kepada FMT.
“Ini sangat membimbangkan. Apakah perkhidmatan kesihatan dan SOP yang ada? Siapa yang memantau (pusat ini)? Itu soalan kami sentiasa tanya.”
Dakwaan Das sama seperti satu laporan Indonesia bulan lalu yang mendakwa penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan berleluasa di pusat tahanan sementara Sabah.
Hasil siasatan ke atas 1,082 migran Indonesia yang dihantar pulang dari Sabah antara Jun dan September lalu kerana masuk atau bekerja secara haran di Malaysia, laporan itu juga mendapati pemerasan dan rampasan harta benda peribadi ialah perkara biasa di pusat tahanan itu.
Pusat tahanan yang sesak menyebabkan tahanan lebih berisiko terdedah kepada jangkitan Covid-19, laporan itu menekankan tempat yang sesak juga menyebabkan tahanan mengalami pelbagai penyakit fizikal dan masalah kesihatan mental.
John Quinley III, pakar kanan hak asasi manusia di Fortify Rights, sebuah kumpulan bebas memfokuskan Asia Tenggara, mengingatkan kerajaan yang UNHCR mempunyai mandat untuk melindungi pelarian dan pencari suaka.
Beliau memberi amaran Covid-19 boleh menular dengan cepat di pusat tahanan dan pihak berkuasa Malaysia perlu bekerjasama dengan UNHCR untuk membebaskan seberapa ramai pelarian, pencari suaka dan mangsa pemerdagangan yang mungkin kerana masalah kesihatan awam serta hak asasi manusia.
“Ia keterlaluan untuk kerajaan Malaysia menghalang UNHCR menemui populasi yang mudah terdedah itu di pusat tahanan imigresen,” katanya kepada FMT.
“UNHCR, apabila dibenarkan melawat pusat tahanan, dapat membantu mengeluarkan pelarian dari tahanan. Pelarian tidak boleh ditahan berdasarkan status undang-undang mereka. Mereka memerlukan perlindungan dan perkhidmatan, bukannya penahanan.”
FMT sudah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan komen.