
Wong didakwa mengingkari arahan pegawai Lee Robert di sebuah rumah di Jalan 17/48 di sini Sabtu lalu.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda hingga RM400, atau kedua-duanya.
Majistret Nurshahira Abdul Salim membenarkan Wong diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Feb 2021 untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM7,000 ke atas Wong.
Bagaimanapun, peguam Wong, Rajsurian Pillai meminta mahkamah mengenakan ikat jamin tanpa cagaran kerana penalti di bawah Seksyen 188 dianggap rendah.
“Dia memberi kerjasama penuh kepada polis dan datang ke mahkamah. Dia ialah seorang graduan baru dan sedang bekerja untuk Ahli Parlimen Klang (Charles Santiago),” katanya sambil menambah gaji bulanan Wong ialah RM2,600.
Rajsurian berkata, tiada risiko Wong melarikan diri dan dia tidak akan mengganggu saksi berpotensi.
Wong ditahan polis Kajang pada 7 Nov lalu ketika merakam dan menyiarkan serbuan di rumah Presiden Umany, Robin Yap Wen Qing.
Police menyiasat Yap dan beberapa pemimpin Umany atas dakwaan menghasut dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian, susulan kenyataan kontroversi Umany di laman Facebooknya mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Umany memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu selepas mendapatkan nasihat beberapa pakar perlembagaan.