Perkeso terima 345 aduan bernilai lebih RM19 juta babit tuntutan palsu majikan

Perkeso terima 345 aduan bernilai lebih RM19 juta babit tuntutan palsu majikan

Daripada aduan yang diterima, 155 merupakan kes tuntutan palsu salah guna dana PSU.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, sehingga 30 Okt 2020 Perkeso menerima 331,950 permohonan majikan melibatkan 2.7 juta pekerja dengan RM11.9 bilion dimanfaatkan melalui PSU.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 345 kes aduan terhadap majikan berhubung bayaran di bawah Program Subsidi Upah (PSU) melibatkan dana sebanyak RM19.986 juta direkodkan setakat ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, jumlah itu berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sehingga 30 Okt lalu.

Katanya, sehingga 30 Okt 2020 Perkeso menerima 331,950 permohonan majikan melibatkan 2.7 juta pekerja dengan RM11.9 bilion dimanfaatkan melalui PSU.

“Daripada aduan yang diterima, 155 adalah kes tuntutan palsu salah guna dana PSU yang dikenal pasti oleh Perkeso untuk tindakan menuntut kembali bayaran daripada majikan terbabit.

“Sementara itu, 190 aduan atau kes dalam proses siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pengadu,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan lisan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berhubung jumlah majikan yang dikenal pasti membuat tuntutan palsu bagi PSU.

Katanya, pihak kementerian akan menggantung sementara bayaran kepada majikan yang terlibat dalam tuntutan palsu sehingga siasatan ke atas aduan selesai.

Katanya, Perkeso turut bekerjasama dengan Bahagian Perundangan, Kementerian Sumber Manusia bagi mengenal pasti tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan selaras dengan usaha menangani masalah tuntutan palsu.

“Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa kes masih dalam tindakan siasatan dan majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Kesiksaan,” katanya.

Beliau berkata, Perkeso akan meneruskan perkongsian maklumat lengkap agar siasatan dapat dimulakan ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah PSU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.