
Beliau berkata negara berdepan “ancaman penularan berita tidak benar yang berbaur hasutan dan palsu” yang kini ditangani melalui melalui undang-undang sedia ada.
Undang-undang anti-berita tidak benar mula berkuat kuasa pada April 2018 semasa pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak, tetapi ditarik balik selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Ia memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara 6 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam jawapan di Parlimen, Takiyuddin berkata, selain instrumen perundangan sedia ada, pelbagai inisiatif di bawah agensi kementerian dilaksanakan bagi menangani penularan berita tidak benar melalui laporan tepat.
Katanya, tidak dinafikan berita tidak benar merupakan ancaman dan digunakan untuk menyebarkan hasutan, termasuklah yang menyinggung kedudukan Raja-raja Melayu serta hak-hak yang dijamin di bawah perlembagaan.
“Kerajaan akan terus memantau penyebaran berita tidak benar dan perbincangan akan terus dijalankan dengan pemegang taruh yang berkenaan bagi mengenal pasti pendekatan yang paling ampuh, termasuklah mengadakan undang-undang berkaitan anti-berita tidak benar sekiranya diperlukan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, semalam.
Azeez bertanya adakah kerajaan bersedia untuk memperkenalkan semula Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, memandangkan terdapat terlalu banyak berita berbaur hasutan dan palsu tersebar.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait badan kehakiman.
“Tidak perlu RCI,” katanya menjawab pertanyaan ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam badan kehakiman seperti yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer tahun lalu. Kerajaan sebelum ini berkata, RCI akan ditubuhkan pada Februari lalu.