
Timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim berkata, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sepatutnya mengumumkan keputusan kes itu pada 17 Nov ini, bagaimanapun tarikh bagi prosiding tersebut dilapangkan susulan pelanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat dari 9 Nov hingga 6 Dis.
“Tarikh baru keputusan itu dimaklumkan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas kepada pihak pendakwaan dan pembelaan menerusi e-mel hari ini,” kata Julia yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi pemberita menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pasukan pembelaan diketuai peguam Tan Hock Chuan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.
Pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan lebih 80 barang kes, termasuk dokumen permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan rumah mampu milik Wilayah Persekutuan, cek RM2 juta, penyata bank syarikat, penyata tahunan Umno dan dokumen anggaran perbelanjaan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk 2 bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Ahmad Phesal Talib dan Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta pengarah Urusan AKSB Chai Kin Kong.
Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil 4 saksi dalam prosiding yang berlangsung selama 4 hari bermula 4 Mac dengan Tengku Adnan sebagai saksi pembelaan pertama.
Saksi lain ialah bekas setiausaha politik Tengku Adnan iaitu Mohd Rafi Alli Hassan; ketua Umno Simpang Renggam Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar Rizalman Mokhtar.
Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.
Tengku Adnan,yang dikenali sebagai Ku Nan, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama 2 hari, iaitu pada 17 Jan dan 5 Mac lepas.
Tengku Adnan, 69, didakwa atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam, iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.
Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.