
Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, golongan itu juga berkemahiran, lebih-lebih lagi negara kini berdepan pandemik Covid-19.
Katanya, kemahiran mereka boleh dilihat menerusi program i-Kembali yang dijalankan bersama Jabatan Penjara, untuk memberi peluang kepada bekas penghuni penjara di 6 sektor industri iaitu perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran, dan pengurusan.
“Kerajaan sebelum ini bercadang mahu beri pas pekerja sementara kepada PATI. Saya tidak mengatakan ia tidak bagus dan tidak baik. Pada saya, sebagai rakyat Malaysia, dalam tempoh Covid-19 yang melonjak, lebih baik ambil bekas banduan,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.
Murni juga menyeru majikan memainkan peranan untuk membantu golongan ini. Katanya, i-Kembali sejak Jun menawarkan pekerjaan kepada 250 bekas penghuni penjara selepas dibebaskan.
“Jika tidak diberi peluang, maka bekas banduan ini akan berputus asa dan kembali ke kehidupan lama mereka.”
Beliau benar-benar berharap agensi kerajaan memandang serius saranan ini, dan lebih banyak NGO membantu Jabatan Penjara memberi kehidupan baharu kepada bekas penghuni penjara.
“Mereka sebenarnya sudah sedia untuk berubah,” katanya.
Pada 30 Okt lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mempertimbang memberi permit kerja sementara kepada PATI di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah, terutama selepas pintu sempadan ditutup dalam usaha mengawal penularan Covid-19.
Tambahnya, pertimbangan itu untuk membenarkan pekerja asing terbabit bekerja dalam tempoh 1 atau 2 tahun saja.
Murni berkata adalah suatu pembaziran sekiranya kemahiran bekas penghuni penjara tidak dimanfaatkan. Tambahan pula, pengambilan bekas penghuni penjara juga boleh mengurangkan kesesakan di penjara.
“Bekas banduan ini banyak selepas dibebaskan tidak mempunyai kerja. Kita patut sambut bekas banduan yang mempunyai kemahiran untuk beri sumbangan kepada negara,” katanya.